Khamis, 9 Januari 2020 | 1:27pm
MAZLAN selepas Majlis Perasmian Polis Pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini. - foto BERNAMA

Polis tempatkan detektif di lokasi, bilik gerakan khas sempena TMM 2020

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memperluaskan fungsi Unit Polis Pelancong (UPP) dengan membuka bilik gerakan khas serta penempatan sepasukan detektif di beberapa lokasi tertentu, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Seramai 159 anggota UPP juga akan ditempatkan di 73 kawasan panas kejadian jenayah jalanan membabitkan pelancong di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bakal dibantu 612 anggota dari beberapa balai polis berhampiran.

UPP juga akan dibantu dengan pembabitan seramai 239 anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan 429 anggota daripada Unit Rondaan Berkereta (MPV), bagi mengurangkan kadar jenayah membabitkan pelancong, sepanjang tempoh itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata sepasukan detektif itu akan ditugaskan di beberapa kawasan kerap berlaku kejadian jenayah dengan mereka akan bertindak sebagai sebagai pihak pertama untuk bertindak.

Pasukan detektif berpakaian preman itu membabitkan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Cawangan Khas (SB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya, Ketua Polis di beberapa balai tertentu juga ditugaskan untuk memantau serta menghantar laporan berkaitan jenayah membabitkan pelancong ke bilik gerakan khas yang beroperasi 24 jam sehari di IPK Kuala Lumpur.

“UPP ini melaksanakan tugas secara berpasangan di kawasan pelancongan ditetapkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, selain menjalankan tugas secara rondaan berjalan, berbasikal, URB dan MPV.

“Pasukan ini juga akan memantau kamera litar tertutup (CCTV) sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan tahap keselamatan terjamin sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan UPP di IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini.

MAZLAN membuat gimik pelancaran Majlis Perasmian Polis Pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini. -

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, statistik jenayah membabitkan pelancong asing merekodkan penurunan sebanyak 4.4 peratus iaitu 27 kes, membabitkan jumlah keseluruhan 580 kes, tahun lalu, berbanding 607 kes, pada 2018.

“Statistik jenayah indeks juga kurang daripada nilai ambang, membabitkan jumlah keseluruhan 11,172 kes berbanding 12,230, sepanjang tahun lalu. Jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 7.85 peratus, berbanding 12,124 kes, pada 2018.

“Saya berharap keselamatan dan ketenteraman di Kuala Lumpur kekal terjamin selain usaha dan pemantauan rapi dijalankan pihak polis khususnya sempena TMM 2020 diharap dapat mengurangkan kadar jenayah di bandaraya ini,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X