Khamis, 9 Januari 2020 | 1:32pm
Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng (dua dari kanan) bertemu secara langsung dengan pegawai kastam dan peniaga pada Program Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Komplek Kastam WPKL Kelana Jaya. - Foto Rohanis Shukri
Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng (dua dari kanan) bertemu secara langsung dengan pegawai kastam dan peniaga pada Program Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Komplek Kastam WPKL Kelana Jaya. - Foto Rohanis Shukri

Sasaran defisit fiskal 2019 dicapai, kutipan SST melebihi sasaran

PETALING JAYA: Kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Kita berjaya mencapai 100 peratus sasaran yang ditetapkan pada tahun lalu.

“Jumlah kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2019 juga mencecah RM27.5 bilion, melepasi unjuran jangkaan jumlah disasarkan sebanyak RM22 bilion,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu hadir pada sesi Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, di Kompleks JKDM Kuala Lumpur, Kelana Jaya.

Guan Eng berkata, kejayaan itu menunjukkan ekonomi kita masih mampan walaupun angka itu lebih rendah berbanding kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini iaitu RM44 bilion.

“Jurang perbezaan jumlah kutipan SST tahun lalu dengan GST sebenarnya hanya dalam kadar RM9 bilion sahaja kerana yang selebihnya itu adalah dalam bentuk pembayaran balik,” katanya.

Ditanya kemampuan kerajaan menampung kerugian daripada penghapusan GST, Guan Eng berkata, menerusi rangka belanjawan lalu kerajaan menjangkakan jurang jumlah kutipan SST adalah RM10 bilion berbanding GST

“Bagaimanapun kita berjaya mengurangkan jurang itu daripada RM10 bilion kepada sekitar RM8 bilion mengikut pelan pengurangan jurang seperti yang diumumkan sebelum ini

“Walaupun jumlahnya agak kecil antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion, kita berjaya menampung sebahagian jurang perbezaan berkenaan. Kesimpulannya ia mengikut pelan ekonomi yang dirancang,” katanya.

Guan Eng berkata, untuk tahun ini, kerajaan menyasarkan kutipan SST sebanyak RM27.5 bilion, namun pihaknya optimis kutipan akhir akan berjaya melepasi angka yang disasarkan.

Berita Harian X