Khamis, 9 Januari 2020 | 6:44pm
MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Antara Kementerian Luar Negeri Antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Wisma Putra. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Antara Kementerian Luar Negeri Antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Wisma Putra. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Wisma Putra sudah hubungi Kementerian Luar UAE

PUTRAJAYA: Duta Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohd Tarid Sufian, sudah diarahkan menghubungi Kementerian Luar UAE bagi menjelaskan perkara sebenar, berhubung pendedahan klip rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Klip rakaman audio yang diyakini tulen oleh SPRM itu didakwa membabitkan perbualan di antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan dua kenamaan dari negara berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya sudah mengambil langkah proaktif untuk menghubungi Kementerian Luar UAE dan ia adalah perkara lazim yang dilakukan sekiranya berlaku sebarang isu membabitkan Malaysia dengan negara luar.

“Ini adalah cara kami untuk menghubungi pihak berkaitan dan jelaskan keadaan, saya rasa tidak akan berlaku sebarang masalah, itu memang kerja kami.

“Bila timbul perkara begini, kita akan menelefon pihak berkaitan untuk sampaikan maklumat, seterusnya menerangkan apa yang berlaku.

“Saya juga berpendapat pendedahan rakaman percakapan itu tidak akan mengganggu hubungan diplomatik antara kedua dua negara ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum (MoU) antara Kementerian Luar dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Saifuddin juga tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut mengenai isu terbabit kerana menganggap ia adalah perkara yang membabitkan negara.

“Anda semua sudah mendengar rakaman percakapan berkenaan. Jadi saya akan menahan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau kesimpulan mengenainya.

“Pertama kerana ia membabitkan negara dan kedua ia kemungkinan akan menjadi bukti di mahkamah. Saya tidak mahu jadi sebahagian daripada itu,” katanya.

Semalam, SPRM mendedahkan sembilan klip rakaman audio selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Antara rakaman percakapan yang didedahkan itu membabitkan perbuatan Najib dengan dua kenamaan daripada UAE.

Selain itu, ada rakaman percakapan di antara Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Mengenai rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Iraq susulan ketegangan di Asia Barat, Saifuddin berkata, pihaknya sudah bermesyuarat dengan agensi berkaitan serta membuat pemantauan 24 jam keadaan di sana.

“Seramai 73 rakyat Malaysia berada di Iran dan kebanyakan mereka ialah pelajar, manakala di seramai 163 rakyat kita berada di Iraq yang bekerja sebagai pensyarah dan majoritinya pekerja Petronas.

“Kebanyakan mereka masih bekerja dan kita menggalakkan mereka untuk bercuti dan balik. Selain itu kami berhubung dengan wakil di Tehran dan Jordan bagi mengetahui situasi sebenar yang berlaku di sana,” katanya.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat lalu.

Berita Harian X