Khamis, 9 Januari 2020 | 6:46pm
LIM Guan Eng (dua dari kiri) mendengar taklimat pada sesi Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
LIM Guan Eng (dua dari kiri) mendengar taklimat pada sesi Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

Kerajaan capai sasaran defisit fiskal tahun 2019, kutipan SST lebih sasaran

PETALING JAYA: Kerajaan berjaya mencapai sasaran ditetapkan iaitu defisit fiskal 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jumlah kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2019 juga mencecah RM27.5 bilion, melepasi unjuran jangkaan jumlah disasarkan sebanyak RM22 bilion.

Katanya, ini menunjukkan ekonomi negara masih mampan walaupun angka itu lebih rendah berbanding kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini iaitu RM44 bilion.

“Jurang perbezaan jumlah kutipan SST tahun lalu dengan GST sebenarnya hanya pada kadar RM9 bilion saja kerana yang selebihnya itu dalam bentuk pembayaran balik,” katanya pada sidang selepas sesi Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ditanya adakah kerajaan mampu menampung kerugian daripada penghapusan GST, Guan Eng berkata, pada rangka belanjawan lalu, kerajaan menjangka jurang kutipan SST adalah RM10 bilion berbanding GST.

“Bagaimanapun kita berjaya mengurangkan jurang itu daripada RM10 bilion kepada sekitar RM8 bilion mengikut pelan pengurangan jurang seperti diumumkan sebelum ini.

“Walaupun jumlahnya agak kecil antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion, kita berjaya menampung sebahagian jurang perbezaan berkenaan. Jadi, kesimpulannya ia mengikut pelan ekonomi yang dirancang,” katanya.

Guan Eng berkata, untuk tahun ini, kerajaan menyasarkan kutipan SST sebanyak RM27.5 bilion, namun pihaknya optimis kutipan akhir akan berjaya melepasi angka itu.

Berita Harian X