Jumaat, 10 Januari 2020 | 5:30pm
Harga Petrol RON97 turun tiga sen kepada RM2.62 seliter, RON95 dan diesel kekal. - Foto hiasan
Harga Petrol RON97 turun tiga sen kepada RM2.62 seliter, RON95 dan diesel kekal. - Foto hiasan

RON97 turun 3 sen, RON95 dan diesel kekal

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 turun tiga sen kepada RM2.62 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 serta RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 17 Januari.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa berdasarkan pengiraan mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu masing-masing sepatutnya RM2.32 serta RM2.46 seliter.

“Ini menunjukkan penurunan daripada minggu lalu bagi harga runcit petrol RON95 yang berada pada paras RM2.35 seliter, manakala kenaikan bagi diesel yang berada pada paras RM2.43 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk itu dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter, selaras keputusan kerajaan untuk menangguhkan Program Subsidi Petrol (PSP),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk berkenaan, anggaran subsidi perlu ditanggung kerajaan bagi tempoh 11 hingga 17 Januari ini berjumlah RM122.85 juta. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X