Jumaat, 10 Januari 2020 | 6:36pm
KETUA Pegawai Ekesekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir (kiri) bermesyuarat dengan rakan-rakan ahli jawatankuasanya dalam kandang buaya tembaga berusia 44 tahun di Crocodile Adventureland Langkawi. NSTP/Hamzah Osman

Mesyuarat dalam kandang buaya

LANGKAWI: Sekumpulan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) melakukan sesuatu luar biasa apabila mengadakan mesyuarat dalam kandang buaya tembaga, di sini, hari ini.

Mesyuarat bermula pada jam 4.15 petang itu diadakan di Crocodile Adventureland Langkawi (CAL) dan dipengerusikan Ketua Pegawai Ekesekutif LTA, Zainudin Kadir.

Sepanjang mesyuarat, empat mereka ditemani buaya tembaga gergasi dikenali Bujang Lang berusia 44 tahun seberat 800 kilogram, selain dua buaya lain.

Mesyuarat itu berlangsung kira-kira 20 minit.

Zainudin berkata, pihaknya sengaja mencari kelainan untuk mengadakan mesyuarat di luar pejabat sepanjang tahun ini, malah idea berbincang dalam kandang buaya muncul secara spontan.

“Menerusi siri mesyuarat yang disusun di luar pejabat, kami yakin dapat membantu mempromosi produk pelancongan tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Mesyuarat unik dalam kandang buaya ini fokus kepada agenda Jelajah Pelancongan Langkawi membabitkan empat negeri yang dijangka bermula di Pulau Pinang pada 31 Januari ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar CAL, Adam Fuaad, berkata pihaknya menyambut baik pendekatan LTA mengadakan siri mesyuarat jawatankuasa di produk pelancongan.

“Secara kebetulan CAL baru saja menerima sijil Malaysia Books of Record sebagai memiliki buaya terbesar, terberat dan terpanjang pernah ditempatkan dalam taman buaya di negara ini,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X