Isnin, 13 Januari 2020 | 6:45pm

Jabatan Pertanian sasar 50 peratus pokok Musang King menjelang 2022

SERDANG: Jabatan Pertanian menyasarkan kira-kira 50 peratus pokok durian Musang King di seluruh negara menjelang tahun 2022 bagi menampung permintaan tinggi terhadap raja buah itu.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Mohd Nasir Warris, berkata sehingga kini terdapat 569,000 pokok durian Musang King atau kira-kira 36 peratus daripada 1.576 juta pokok durian di seluruh negara.

"Kita menyasarkan negara memiliki kira-kira 50 peratus pokok durian Musang King dalam tempoh terdekat kerana permintaan terhadap durian jenis ini amat tinggi.

"Justeru, pelbagai usaha akan dilakukan bagi menambah bilangan pokok durian berkenaan antaranya, membuat cantuman dewasa (cantuman tunas) dengan pokok durian sub standard (kampung) dan melalui penanaman baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama media di Pusat Pertanian Serdang di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, sasaran itu bagi menggalakkan petani menanam lebih banyak pokok durian Musang King yang terkenal dengan kualitinya berbanding jenis kampung.

"Harga bagi durian jenis Musang King amat tinggi dan sebab itu kita mahu supaya petani menanamnya, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

"Jadi mana-mana petani yang mahu menukarkan pokok mereka daripada durian sub standard kepada Musang King, boleh dapatkan nasihat serta bantuan daripada Pejabat Pertanian di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian juga mahu Malaysia dikenali dengan identiti sebagai pengeluar durian Musang King di dunia menerusi usaha yang dilakukannya.

Ketua Pengarah Pertanian, Mohd Nasir Warris meninjau hasil durian Musang King pada majlis ramah mesra bersama media di Pusat Pertanian Serdang. - NSTP/Rosela Ismail
Berita Harian X