Isnin, 13 Januari 2020 | 7:01pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 di Kementerian Kesihatan Putrajaya. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 di Kementerian Kesihatan Putrajaya. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Bekalan alternatif 1 juta tablet ubat oseltamivir untuk fasiliti swasta

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan bekalan alternatif sebanyak satu juta tablet ubat oseltamivir bagi tujuan merawat Influenza A kepada fasiliti kesihatan swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jumlah ubat oseltamivir itu secara langsung boleh memberi manfaat kepada 100,000 pesakit.

Hingga kini hanya terdapat lima pembekal sedia ada bagi membekalkan ubat berkenaan.

“Kelulusan itu dibuat selepas melihat peningkatan permintaan ubat berkenaan di fasiliti kesihatan swasta. Kita beri alternatif lain kepada klinik swasta untuk mendapatkan ubat antiviral berkenaan dari kerajaan selain dari pembekal sedia ada.

“Pihak swasta boleh memohon permit untuk mengimport ubat berkenaan dan kelulusan khas akan diberikan pada hari yang sama,” katanya selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu kementeriannya, di sini hari ini.

Sementara itu mengenai masalah bekalan vaksin, Dzulkefly berkata, buat masa ini, stok bekalan vaksin bagi Influenza A masih mencukupi dalam sektor kerajaan.

“Kita ada stok mencukupi. Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah rakyat ingin mendapatkan vaksin berkenaan di fasiliti swasta dan mereka (swasta) tidak menyimpan stok yang banyak.

“Apabila permintaan melebihi bekalan yang ada, itu sebab berlakunya kekurangan dan menimbulkan situasi cemas,” katanya.

Tahun lalu sebanyak 600,000 dos vaksin influenza diterima oleh kerajaan. Pada 2 Disember lalu, kerajaan menerima lebih 90,000 dos vaksin dan difahamkan pada 21 Januari ini, lebih 60,000 dos vaksin lagi akan diterima.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, mendakwa klinik swasta berdepan kekurangan kritikal bekalan vaksin untuk pencegahan influenza daripada empat syarikat pembekal utama.

Beliau mendakwa, kekurangan itu berlaku kerana klinik swasta tidak diberi keutamaan untuk mendapatkan bekalan vaksin terbabit berbanding hospital swasta.

Berita Harian X