Selasa, 14 Januari 2020 | 1:45pm
Mohd Esmadi bersama ahli keluarganya termasuk Dayyan Hazim (dua dari kiri) yang meninggal dunia pada 6 Januari lalu akibat demam. - Ihsan pembaca
Mohd Esmadi bersama ahli keluarganya termasuk Dayyan Hazim (dua dari kiri) yang meninggal dunia pada 6 Januari lalu akibat demam. - Ihsan pembaca

Dua anak demam serentak, seorang meninggal

MARAN: Dugaan berat terpaksa ditempuh keluarga Mohd Esmadi Ibrahim, apabila dua anaknya demam serentak sebelum seorang daripadanya meninggal dunia pada 6 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, anak bongsunya meninggal dunia akibat demam, manakala anak keduanya dimasukkan ke wad selepas dikesan dijangkiti virus Influenza A.

Mohd Esmadi, 36, berkata anak bongsunya Muhammad Dayyan Hazim yang berusia 20 bulan meninggal dunia pada 6 Januari lalu, selepas sehari mengalami demam.

Lebih menyedihkan ketika kejadian itu, bapa kepada tiga anak terbabit tidak ada bersama mangsa kerana berada di sebuah hospital swasta Kuantan, menemani anak keduanya, Mohamad Danial, 4, yang disahkan dijangkiti Influenza A.

“Bayangkanlah saya tidak dapat memberikan tumpuan pada Hazim dan tidak berpeluang berjumpanya sejak 1 Januari lalu kerana menjaga Danial yang demam teruk dalam wad.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi berharap selepas ini pihak hospital janganlah terlalu mengikut prosedur sehinggakan hendak tunggu lima hari baru hendak melakukan ujian dan sebagainya sedangkan sakit teruk ,” katanya.

Beliau berkata, pada 2 Januari 2020 lalu, isterinya Rossilawati Mohamad, 37, yang menjaga Hazim menelefon memberitahu anak keduanya itu demam dengan panas mendadak sambil mengadu sakit di dalam perut.

Mohd Esmadi berkata, beliau kemudian meminta isterinya membawa Hazim ke klinik swasta kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, sekiranya baru demam pesakit disuruh balik tanpa melakukan ujian terperinci termasuklah ujian darah.

Beliau yang berasal daripada Jengka 18, Maran, berkata ujian yang dijalankan di klinik berkenaan terhadap anaknya itu didapati negatif influenza.

Katanya, berbekalkan antibiotik dan ubat demam Hazim dibawa pulang ke rumah oleh isterinya sebelum mangsa mengalami demam panas yang dialami meningkat mendadak sehingga terpaksa diberikan ubat sebelum mengalami sawan dan dikejarkan ke Hospital Jengka.

“Berita menyedihkan saya terima ketika dalam perjalanan pulang dari Kuantan apabila Hazim dilaporkan semakin kritikal sehingga dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya.

Mohd Esmadi berkata, beliau tidak menyangka dengan hanya demam satu hari menyebabkan seluruh tubuh anaknya menjadi lemah.

“Apabila sampai di hospital, doktor pakar memaklumkan anak saya berada dalam keadaan kritikal dan Hazim meninggalkan kami pada pukul 7.11 pagi pada 6 Januari lalu sebelum dikebumikan di Jengka 18 pada hari sama.

“Walaupun saya dan isteri amat sayangkan Hazim tetapi kami reda dengan ketentuan kerana Allah lebih sayangkannya,” katanya yang bertugas sebagai Pengurus Felda Jengka 1.

Mengulas gejala influenza yang dialami anak keduanya, Danial, beliau berkata, abang kepada Allahyarham itu mengalami demam pada 31 Disember lalu dengan suhu meningkat hingga 39 darjah Selsius.

Katanya, pada mulanya beliau membawa Danial ke Hospital Hoshas Temerloh sebelum doktor mengesahkan anaknya tidak ada jangkitan kuman dan diminta balik

“Walaupun saya memberitahu anaknya sering sakit perut dan demam tidak kebah walaupun makan ubat tetapi doktor mengesahkan tidak dijangkiti kuman.

”Doktor tetap arahkan anak saya dibawa pulang sambil meminta kami membasahkan Danial,” katanya.

Katanya, tidak puas hati dengan keadaan itu, beliau mengambil keputusan unuk merujuk Danial ke sebuah klinik swasta yang kemudian mengesahkan anaknya dijangkiti virus Influenza A.

“Saya begitu sedih dengan fasiliti hospital kerajaan yang tidak mampu mengesahkan anak saya menghidap Influenza A.

“Berbekalkan surat rujukan daripada klinik, saya bawa anak ke sebuah hospital swasta untuk rawatan sebelum sembuh dan dibenarkan pulang pada 6 Januari lalu,” katanya.

Berita Harian X