Selasa, 14 Januari 2020 | 3:07pm
PLUS akan menggunakan teknologi baharu termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan trafik di lokasi dikenal pasti kritikal pada pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini. - Foto hiasan

Dron pantau trafik di lebuh raya

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menggunakan teknologi baharu termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan trafik di lokasi dikenal pasti kritikal pada pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, berkata inisiatif itu adalah langkah baharu yang diperkenalkan PLUS iaitu menerapkan penggunaan teknologi dan kejuruteraan terkini bagi keselesaan pengguna.

“Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengalaman perjalanan semua pihak di lebuh raya dan selain mengoptimumkan penggunaan media sosial, PLUS akan turut menggunakan teknologi dalam setiap perkhidmatan.

“Penggunaan dron akan dilakukan untuk memantau pergerakan trafik dari udara di beberapa lokasi kritikal pada perayaan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Op Selamat 16/2020 sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor; Pengarah Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Mohamad Nasir berkata PLUS menjangkakan jumlah pengguna lebuh rayanya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina akan bertambah sehingga 2 juta kenderaan iaitu 18 peratus naik berbanding 1.7 juta buah kenderaan pada hari biasa.

“Berdasarkan pola dan kajian, kami menjangkakan jumlah kenderaan akan meningkat kepada tahap tertinggi pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari ini.

“Ini memerlukan kami bukan sahaja bersedia malah menjaga pelanggan dengan baik melalui pelbagai inisiatif untuk melancarkan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 5,000 kakitangan dan rakan strategik agensi penguat kuasa seperti polis, bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan diletakkan di lebuh raya untuk melancarkan perjalanan.

“Mereka bersedia untuk merungkai kesulitan pelanggan serta membantu supaya perjalanan lebih selamat, lancar dan selesa.

“Hebahan trafik juga akan dilakukan berterusan menggunakan pelbagai saluran komunikasi secara maksimum bagi membolehkan pelanggan mengelak kesesakan dan membuat keputusan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata antara inisiatif lain akan digerakkan PLUS adalah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), laluan kontra dan menghentikan kerja penyelenggaraan.

“Kami juga akan menutup sementara lorong tambah nilai di plaza tol bermula 22 Januari hingga 2 Februari ini tetapi pelanggan boleh membuat urusan itu di lebih 11,000 pusat tambah nilai di seluruh negara,” katanya.

Berita Harian X