Selasa, 14 Januari 2020 | 8:11pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bekalan tambahan vaksin influenza dibawa masuk bulan ini

KUALA LUMPUR: Bekalan tambahan vaksin influenza sebanyak 99,470 dos akan dibawa masuk, bulan ini, untuk memenuhi peningkatan permintaan yang mendadak sejak akhir tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, 40,000 dos vaksin influenza terdahulu sudah diagihkan ke hospital dan klinik swasta pada 7 Januari lalu, menyebabkan baki stok dalam simpanan pihak pembekal habis buat masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan ketika ini, ada enam produk vaksin influenza berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia.

“Jumlah keseluruhan kuantiti dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang tahun lalu bagi keenam-enam produk vaksin itu ialah 638,388 dos dan hanya 10 peratus daripadanya adalah bekalan ke kemudahan kesihatan KKM.

“Vaksin influenza hanya ditawarkan di kemudahan KKM sebagai sebahagian daripada regimen rawatan golongan pesakit berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan, termasuk kematian apabila dijangkiti virus influenza, dan pemberiannya adalah berdasarkan penilaian klinikal daripada pakar.

“Vaksin ini juga diberikan kepada anggota barisan hadapan kementerian yang terdedah kepada jangkitan ketika mengendalikan pesakit. Orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza boleh mendapatkannya di kemudahan kesihatan swasta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai Oseltamivir atau antiviral bagi merawat influenza pula, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya tiada masalah untuk menampung bekalan ubat itu di kemudahan KKM walaupun wujud peningkatan permintaan empat kali ganda pada Disember tahun lalu, kerana syarikat konsesi diarahkan menyimpan stok yang mencukupi.

Bagaimanapun, kementerian memberi kelulusan khas mendapatkan stok daripada pembekal alternatif bagi menampung peningkatan keperluan secara mendadak di kemudahan kesihatan swasta berikutan lima syarikat berdaftar tidak dapat memenuhi permintaan sedia ada.

“KKM memberi kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif. Setakat ini, kementerian meluluskan hampir 1.1 juta kapsul atau tablet bagi tempoh Disember tahun lalu hingga bulan ini.

“Ia untuk memenuhi permintaan kemudahan kesihatan swasta dan kuantiti ini dianggarkan dapat merawat 110,000 pesakit. KKM sentiasa komited dalam memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Berita Harian X