Selasa, 14 Januari 2020 | 8:52pm
TAN Siew Lin (kiri) bersama suaminya, Sew Kok Wee, 63, (kanan) menunjukkan keratan akhbar dan foto anaknya, Annie Kok Yin Cheng pada sidang media di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini. - Foto Azhar Ramli
TAN Siew Lin (kiri) bersama suaminya, Sew Kok Wee, 63, (kanan) menunjukkan keratan akhbar dan foto anaknya, Annie Kok Yin Cheng pada sidang media di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini. - Foto Azhar Ramli

Keluarga mangsa gesa kerajaan adakan pungutan suara

PUTRAJAYA: Keluarga Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, mendiang Datuk Anthony Kevin Morais dan Annie Kok Yin Cheng menggesa kerajaan mengadakan pungutan suara pada peringkat nasional atau referendum sebelum mengambil keputusan menghapuskan hukuman mati mandatori.

Keluarga mangsa mahu jika hukuman mati mandatori dihapuskan, perkara itu akan menjadi tidak adil terutama dalam kes membabitkan kematian secara sengaja.

Ibu Ying Cheng, Tan Siew Lin, 57, berkata anaknya berusia 17 tahun ketika mangsa dirogol dan dibunuh Rabidin Satir atau lebih dikenali sebagai Rambo Bentong.

“Sejak kejadian pada 2009, saya sentiasa teringatkan dia (anak), terutama menjelang hari lahirnya pada 6 Jun setiap tahun.

“Saya hanya tenang jika pembunuh anak saya dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya pada sidang media di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Sidang media turut disertai pengamal undang-undang termasuk Tan Sri Datuk Rober Phang, Adnan Seman dan Christine Teng.

Terdahulu, lapan keluarga mangsa bersama bertemu Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dianggotai sembilan ahli termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Sementara itu, peguam Christine Teng, yang mewakili keluarga mangsa, berkata penjenayah kini semakin canggih dan mereka mampu bersembunyi di belakang barisan peguam handalan.

Beliau berkata, jika kerajaan mahu menghapuskan hukuman mati mandatori, mereka terlebih dulu perlu memperbaiki sistem perundangan negara.

“Kami mahu hukuman mati mandatori dikekalkan, terutama membabitkan kesalahan menyebabkan kematian dan pembunuhan dirancang.

“Keluarga mangsa hanya mahukan hukuman mati mandatori dan tidak akan menerima sebarang pampasan daripada kerajaan mahupun pesalah dalam usaha membebaskan mereka daripada tanggungjawab yang seharusnya dipikul,” katanya.

Pada 29 Ogos tahun lalu, kerajaan bersetuju Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan untuk mengkaji secara keseluruhan dasar penghukuman bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Sementara itu, rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dibentang Oktober tahun lalu di Dewan Rakyat selepas kerajaan memutuskan tempoh hukuman penjara setimpal sebagai alternatif kepada hukuman maksimum itu.

Pada November lalu, jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada 13 November lalu.

Beliau berkata, keputusan dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu itu turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X