Rabu, 15 Januari 2020 | 4:51pm
Mustapa dilantik sebagai Pengerusi TERAJU untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Disember 2019. - Arkib NSTP

Tok Pa dilantik Pengerusi TERAJU

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Disember 2019.

Mengumumkan pelantikan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan berkenaan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bersandarkan pengalaman menggalas pelbagai portfolio dalam pentadbiran awam sebelum ini, Mohamed Azmin menaruh keyakinan percaturan untuk melantik Mustapa atau lebih mesra disapa sebagai Tok Pa, berupaya memacu usaha ke arah meningkatkan daya saing Bumiputera.

“Bersesuaian dengan peranan TERAJU sebagai sebuah agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, saya yakin beliau akan dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera, seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Ia sekali gus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara. Selain dari sudut ekonomi, TERAJU mempunyai peranan besar dalam menjamin kesejahteraan hidup dan mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustapa mempunyai rekod pengalaman dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan, malah pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk tempoh 2009 hingga 2018.

Beliau turut menyandang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tempoh 2008 hingga 2009, Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan II (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).

Berita Harian X