Rabu, 15 Januari 2020 | 11:32pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. NSTP/Eizairi Shamsudin
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. NSTP/Eizairi Shamsudin

Kerajaan hanya kaji mansuh hukuman mati mandatori

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan kajian hanya dijalankan bagi cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori, bukan hukuman mati secara keseluruhan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata langkah itu selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Katanya, pihaknya mengambil maklum kebimbangan dikemuka waris mangsa pembunuhan pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum di Putrajaya, semalam.

Piawaian hak asasi antarabangsa itu meletakkan budi bicara hakim dalam menjatuhkan hukuman mati berdasarkan fakta dan keadaan khusus bagi setiap kes berbeza.

“Laporan akhir Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori akan dikemuka kepada saya pada akhir bulan ini, sebelum tindakan lanjut diambil.

“Saya juga memberi jaminan bahawa pandangan semua pihak berkepentingan dalam perkara ini akan diberi pertimbangan sewajarnya dalam proses membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, jawatankuasa berkenaan dilapor menggesa kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pemansuhan perkataan mandatori bagi hukuman mati.

Jurucakap jawatankuasa berkenaan menegaskan pesalah perlu berani berdepan hukuman mati, jika pembunuh mempunyai keberanian untuk melakukan perbuatan itu.

Sebelum ini, jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan membunuh.

Perkara itu diumumkan Vui Keong ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada 13 November lalu yang menegaskan keputusan dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 29 Ogos tahun lalu, kerajaan bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan untuk mengkaji secara keseluruhan dasar penghukuman bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori pula dibentang di Dewan Rakyat, Oktober lalu, selepas kerajaan memutuskan tempoh hukuman penjara setimpal sebagai alternatif kepada hukuman maksimum itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X