Khamis, 16 Januari 2020 | 6:57am
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof (tengah) merasmikan majlis pelancaran Festival Ramadan Antarabangsa Kuala Lumpur 2020, semalam. Turut hadir (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif RB.Co Holding, Mohamad Al Naasan, Pengarah Acara Festival Ramadan Festival 2020 Kuala Lumpur, Datuk Naim Mohamad, Pengarah Urusan RB.Co Holding Jamal Al Naasan dan Pengerusi WEX Malaysia Sdn Bhd Datuk Rosle Jaamat. - Foto BERNAMA

Karnival beli-belah antarabangsa pertama Malaysia sempena Ramadan Mei ini

KUALA LUMPUR: Karnival beli-belah antarabangsa pertama di Malaysia sempena Ramadan, Festival Ramadan Antarabangsa Kuala Lumpur 2020, akan diadakan pada 8 hingga 17 Mei ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata festival itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), pengguna boleh mendapatkan produk daripada jenama tempatan dan antarabangsa di satu tempat.

Beliau berkata festival itu juga akan meningkatkan rangkaian dan pembabitan dengan mewujudkan peluang perniagaan antara usahawan tempatan dan antarabangsa bukan sahaja di Malaysia tetapi pasaran serantau dan global yang lebih luas.

“Festival Ramadan Antarabangsa Kuala Lumpur akan menjadi unik, dengan cara membawa perniagaan Muslim dan bukan Islam daripada negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk datang ke Malaysia mempamer dan menjual produk mereka,” katanya berucap sebelum menyempurnakan prapelancaran festival itu di sini malam tadi.

Festival itu juga akan membantu usahawan Malaysia meneroka perniagaan halal memandangkan produk patuh syariah dicari oleh sekurang-kurangnya dua bilion penduduk di dunia.

Festival itu juga bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 serta kedudukan Malaysia sebagai hos Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020.

Karnival beli-belah 10 hari itu dijangka menarik orang ramai dari seluruh Malaysia dengan pelbagai aktiviti hiburan, solat tarawih setiap hari, demonstrasi masakan dan persembahan kebudayaan antarabangsa yang dirancang diadakan setiap hari pada karnival itu. – BERNAMA

Berita Harian X