Khamis, 16 Januari 2020 | 4:06pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tiada kes coronavirus di negara ini - KKM

KUALA LUMPUR: Tiada kes membabitkan coronavirus baharu dilaporkan di negara ini, namun kerajaan mengambil langkah siap sedia bagi menghadapi potensi penularan penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menegaskan bahawa situasi jangkitan influenza yang dilaporkan di Malaysia sekarang tiada kaitan dengan kejadian coronavirus baharu di Wuhan, China.

Katanya, antara langkah kesiapsiagaan yang dilaksanakan ialah memaklumkan kepada semua anggota KKM di semua peringkat termasuk pintu masuk antarabangsa negara bagi mengambil langkah pencegahan dan kawalan infeksi.

“Kita turut memberi penekanan dan memperkukuhkan aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota yang bertugas di pintu masuk antarabangsa negara.

“Pengembara yang dikesan mengalami demam dan bergejala, pemeriksaan akan dilakukan semula di pusat kuarantin kesihatan atau tempat pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa negara,” katanya menerusi kenyataan media, di sini.

Dr Noor Hisham berkata, saringan pesakit di klinik kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes yang disyaki akan dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah pencegahan dan kawalan infeksi.

Katanya, seseorang yang mengalami gejala penyakit respiratori akut dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari Wuhan, dinasihatkan supaya pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk menjalani pemeriksaan.

“Sekiranya terdapat kes disyaki yang dikesan dari mana-mana fasiliti kesihatan, kes perlu dilaporkan segera kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC).

“KKM turut memperkukuhkan keupayaan bagi menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan coronavirus. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) adalah makmal sedia ada yang berupaya menjalankan ujian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, anggota KKM juga dinasihatkan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) dan simpanan stok bagi PPE serta ubat-ubatan bagi menghadapi wabak perlu dipastikan mencukupi untuk menampung keperluan di fasilti kesihatan masing-masing.

Katanya, KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan maklum balas kementerian bagi menghadapi potensi penularan jangkitan dalam negara.

Pada 31 Disember lalu, pihak berkuasa China melaporkan mengenai satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) yang tidak diketahui punca jangkitannya, membabitkan masyarakat setempat di Wuhan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kemudian mengesahkan bahawa wabak yang berlaku di Wuhan, adalah disebabkan oleh jangkitan daripada coronavirus baharu.

Berita Harian X