Khamis, 16 Januari 2020 | 4:51pm

SPAN pantau empangan susut

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan memantau penyusutan paras air empangan dan sungai terutama di Kedah dan Pulau Pinang bagi memastikan bekalan air tidak terjejas.

Malah, langkah pembenihan awan akan dikaji untuk dilaksanakan jika wujud keperluan.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazli Ismail, berkata keadaan cuaca panas dan hujan berkurangan menyebabkan kemerosotan paras di empangan dan sungai di utara Semenanjung.

“Ketika ini, daerah Langkawi, Alor Setar dan Kuala Muda di Kedah menghadapi kekurangan sumber air, manakala Pulau Pinang turut berdepan isu sama.

“Susulan cuaca panas dan kering serta kekurangan taburan hujan, dua empangan bekalan utama di Pulau Pinang iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang mengalami penyusutan paras air.

“Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dikesan menyusut sehingga ke paras simpanan, masing-masing 61.5 peratus dan 39.2 peratus.

“Bagaimanapun, bacaan itu masih di atas paras kritikal. Jika perlu, sumber air mentah dari Empangan Mengkuang akan disalurkan untuk mengurangkan impak dan risiko gangguan bekalan air di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Katanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) selaku pengendali bekalan giat melakukan pemantauan dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keadaan dapat dikawal.

Mohd Fazli berkata, keadaan air di Langkawi, Kuala Muda dan Alor Setar turut dipengaruhi cuaca panas dan kering.

“Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan kawasan agihan loji rawatan air (LRA) Tupah berkapasiti 12 juta liter sehari (JLH) dan LRA Merbok (2.3 JLH) di Kuala Muda yang menerima sumber air mentah dari kawasan tadahan lembangan Gunung Jerai didapati terjejas.

“Akibat kekurangan hujan, opersai kedua-dua loji itu mengalami pengurangan pengeluaran bekalan air untuk disalurkan kepada pengguna seperti biasa.

“SADA akan menyediakan bantuan di kawasan terjejas. Sebagai persediaan, telaga tiub yang disiapkan tahun lalu untuk pengambilan air bawah tanah bagi kegunaan kecemasan ketika kemarau akan disalurkan ke loji berkenaan,” katanya.

INFO

Keadaan air di Selangor

* Melebihi 89 peratus tahap simpanan air

* Membekalkan 60 peratus bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur

* Mempunyai 100 peratus simpanan air mentah

Berita Harian X