Jumaat, 17 Januari 2020 | 9:23pm

Mesyuarat Agung BERSATU Jun depan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat agung pertama parti itu akan diadakan pada Jun depan.

Sehubungan itu, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, beberapa tarikh sudah ditetapkan bagi memastikan Mesyuarat Agung BERSATU dapat dilakukan dengan lancar.

“Kita tetapkan 26 Januari ini sebagai tarikh pencalonan manakala mesyuarat cawangan perlu diadakan pada 15 Februari hingga 29 Mac depan; persidangan Bahagian (18 April) dan mesyuarat agung (25 hingga 28 Jun).

“Jumlah bahagian yang layak bersidang adalah sebanyak 189, manakala keseluruhan ahli layak mengambil bahagian pada peringkat cawangan pula seramai 363,167 orang.

“(Peringkat) Bahagian akan menamakan calon masing-masing dan kita ada 189 Bahagian dan seterusnya kita akan buat penjumlahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden BERSATU merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BERSATU merangkap Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya.

Hadir sama, Naib Presiden BERSATU merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) merangkap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengenai pemutihan keahlian BERSATU, Dr Mahathir berkata, proses berkenaan sudah dijalankan dan jumlah keseluruhan ahli parti itu adalah seramai 363,167 orang.

“Jumlah ini mungkin nampak sedikit kerana kita sudah lakukan pemutihan dengan masalah yang kita hadapi adalah ahli lambat daftar atau lapor kepada ibu pejabat dan tak bayar yuran keahlian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tempoh penggantungan tugas daripada jawatan masing-masing dalam BERSATU membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Shan Abdullah dan beberapa ahli lain akan ditentukan kemudian.

“Kita akan tengok pada perbicaraan kes ini, kalau ada. Setakat ini parti belum ada keputusan dan kita kena tunggu siasatan kes ini dijalankan terlebih dahulu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

Semalam, Adhif Shan digantung serta-merta daripada jawatannya sebagai Ketua ARMADA Selangor dan tindakan sama turut diambil ke atas Penolong Setiausaha sayap itu, Ahmad Redzuan Mohamad Shafi.

Adhif Shan terpalit kontroversi selepas ditahan bersama 16 yang lain dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Puchong awal minggu ini, yang disyaki menjadi tempat penyalahgunaan dadah dan judi.

Hasil saringan awal terhadap 17 individu termasuk enam wanita yang ditahan itu, 16 daripada mereka dikesan positif dadah.

Semua mereka kecuali seorang wanita warga asing sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan masih dijalankan termasuk menunggu keputusan saringan kedua yang dijalankan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk tengah) yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada sidang media sempena Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu hari ini. - Foto BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X