Jumaat, 17 Januari 2020 | 9:39pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan langkah Kabinet mengekalkan konsesi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai keputusan terbaik. - Foto BERNAMA

Kekalkan PLUS penyelesaian terbaik - Dr M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan langkah Kabinet mengekalkan konsesi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai keputusan terbaik.

Sambil menyifatkan tindakan itu adalah satu-satunya penyelesaian, Perdana Menteri menjelaskan, Kabinet mengkaji cadangan pelbagai pihak sebelum memuktamadkan keputusan berkenaan.

“Saya ada tengok kertas kerja dikemukakan Pengerusi Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan kita (Kabinet) kaji semua permohonan daripada pihak lain.

“Bagaimanapun, keputusan terbaik adalah mengekalkan PLUS di bawah Khazanah dan KWSP,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini, petang tadi.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan, bayaran tol semua lebuh raya milik PLUS diturunkan 18 peratus tahun ini dan kadar itu kekal sehingga tamat tempoh konsesi lanjutan pada 2058, selepas milikan saham syarikat itu dikekalkan kepada Khazanah dan KWSP.

Mengulas pembelian kereta mewah dilakukan kerajaan Kelantan, beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak meletakkan syarat terhadap bantuan kewangan diberikan kepada kerajaan negeri, sebaliknya terpulang kepada pentadbiran mereka untuk menggunakannya.

“Kita bagi duit, kita tak bagi syarat. Apa yang dia nak buat, dia buat lah, kalau dia buat benda yang tak betul, rakyat akan hukum,” katanya.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Dr Mahathir berkata, BERSATU memberi bantuan seadanya bagi membantu kemenangan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.

“Kita bantu macam biasa saja. Kita tak bagi duit kepada pengundi dan sebagainya. Itu (pemberian duit) bukan cara kita. Lagipun di sini WARISAN bertanding.

“WARISAN kedudukannya berbeza daripada parti lain dalam Pakatan Harapan (PH). Mereka bukan ahli dalam PH tetapi kita beri keistimewaan kepada mereka kerana kita telah bersetuju mereka akan bertanding di Sabah dan kita tak akan pergi ke sana,” katanya.

Tamat/

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X