Sabtu, 18 Januari 2020 | 1:14pm
PENGERUSI SPR Datuk Azhar Azizan Harun (dua kanan) melawat pusat mengundi di SK Belatik.

Proses pengundian berjalan lancar - Pengerusi SPR

BONGAWAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang laporan mengenai pelanggaran peraturan pilihan raya dari mana-mana parti sejak proses pengundian bermula pagi tadi hingga tengah hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata keadaan di setiap pusat pengundian terkawal dengan kehadiran anggota keselamatan untuk memantau dan memastikan proses pengundian berjalan lancar.

"Setakat ini saya belum menerima laporan mengenai pelanggaran peraturan pilihan raya oleh mana-mana parti atau penyokong.

"Tambahan pula, polis yang bertugas berjaya mengawal keselamatan ketika PRK sedang berlangsung," katanya selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Viging, di sini.

Beliau turut mengingatkan pengundi yang belum menunaikan tanggungjawab supaya keluar mengundi ketika cuaca masih elok.

"Jika hujan petang ini, ada sedikit kesulitan untuk keluar mengundi nanti," katanya.

Katanya, peratusan pengundi keluar mengundi juga baik berikutan ramai pengundi keluar awal pagi kerana cuaca yang cerah.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, SPR melaporkan sebanyak 50.37 pengundi sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Setelah membuat tinjauan di tiga sekolah tadi, ramai pengundi yang keluar mengundi. Tambahan pula cuaca amat elok.

"Saya juga meninjau langkah penambahbaikan yang kita buat di satu sekolah tadi di mana laluan disimenkan agar pengundi terutamanya golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mudah berjalan. Pengundi juga dapat duduk menunggu di tempat yang teduh.

"Selain itu, kita turut menyediakan sebuah kenderaan di pusat mengundi kawasan tinggi khususnya untuk pengundi yang tidak berupaya naik. Penambahbaikan ini kecil tetapi impaknya amat besar," katanya.

Seramai 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa layak mengundi pada PRK Kimanis.

Sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 68 saluran dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang bagi membolehkan pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih berdaftar.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

Berita Harian X