Ahad, 19 Januari 2020 | 12:00am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Makan Malam Santai 2020 Parlimen Kuala Kedah di Dewan Besar Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Rakyat luar bandar perlu terima kaedah baharu

ALOR SETAR: Penduduk luar bandar perlu mengubah cara meningkatkan pendapatan dan menerima kaedah baharu dalam bidang pertanian moden, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, masyarakat luar bandar terus menjadi miskin kerana mereka masih menggunakan cara lama dalam kegiatan ekonomi harian.

Tegasnya, terdapat potensi dalam bidang pertanian kerana permintaan terhadap permintaan makanan yang tinggi, berikutan jumlah penduduk negara yang terus meningkat.

“Kalau hendak guna cara lama, memang tidak boleh dan disebabkan itu kita terpaksa import makanan dari negara lain. Itu boleh dibuat kerana negara ada duit.

“Petani kita sepatutnya boleh keluarkan banyak makanan seperti beras dan produk pertanian lain, jika ikut kaedah baharu.

“Disebabkan itu, kerajaan mencadangkan pemilik tanah mencantumkan tanah kecil mereka menjadi ladang yang dapat diurus individu terlatih,” katanya ketika berucap pada Program Makan Malam Santai 2020 Parlimen Kuala Kedah, di sini, malam ini.

Berita Harian X