Ahad, 19 Januari 2020 | 1:15pm

PRK bukan pengukur prestasi PH - Guan Eng

BUTTERWORTH: Prestasi Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dinilai berdasarkan keputusan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) saja, tetapi ia perlu dilihat dalam skop lebih besar, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kemenangan besar PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu diambil kira kerana ia menggambarkan suara rakyat secara keseluruhan.

Bagaimanapun, katanya, kekalahan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada PRK Kimanis semalam, perlu diambil iktibar semua kepemimpinan PH untuk bekerja lebih keras bagi memenuhi jangkaan rakyat.

“(Keputusan) PRK tidak menggambarkan keputusan PRU. Ini kerana, sebelum PRU juga, kami (PH) pernah kalah teruk pada setiap PRK, tetapi kami mengejutkan semua orang dengan memenangi PRU-14.

“Kita faham orang suka melihat keputusan pada waktu itu saja (PRK) dan membuat kesimpulan, tetapi pada akhirnya (tiba hari mengundi) jika kita beri pilihan kepada mereka untuk memilih antara kerajaan yang korup dengan kerajaan yang bersih, sudah tentu mereka memilih kerajaan yang bersih,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan persekolahan kepada pelajar miskin dalam Parlimen Bagan, di Seberang Perai Arena, di sini, hari ini.

Seramai 660 pelajar sekolah rendah dan menengah menerima bantuan RM100 setiap seorang tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM66,000.

Semalam, Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, memenangi PRK Kimanis dengan 12,706 undi, sekali gus mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 2,029 undi, menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang, 66, yang memperoleh 10,677 undi.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau yakin sokongan akan terus diberikan rakyat terhadap kerajaan PH, apatah lagi dengan pelbagai usaha dan inisiatif diberikan bagi membantu mengurangkan beban ekonomi ditanggung sekarang.

Katanya, ia termasuk pemberian RM30 melalui program e-Tunai Rakyat, pengurangan kadar tol dan #Malaysiakerja yang dijangka dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

  • Lagi berita mengenai PRK Parlimen Kimanis
  • Guan Eng berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Pelajar Miskin Bagi Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Tahun 2020 Parlimen Bagan di Seberang Perai Arena, Seberang Jaya, Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong
    Berita Harian X