Ahad, 19 Januari 2020 | 5:47pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama masyarakat Cina ketika Program Edaran Limau Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Parlimen Pandan di Pasar Taman Muda. - Foto Asyraf Hamzah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama masyarakat Cina ketika Program Edaran Limau Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Parlimen Pandan di Pasar Taman Muda. - Foto Asyraf Hamzah

PH ambil iktibar keputusan PRK Kimanis

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mengambil iktibar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dan akan perbaiki keadaan bagi meraih sokongan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kita mendengar dan mengambil itu (keputusan PRK) sebagai iktibar, apakah keterangan dan petunjuk untuk perbaiki keadaan supaya mendapat balik mandat dan juga sokongan rakyat,” katanya di sini, hari ini.

PRK Parlimen Kimanis semalam menyaksikan BN mengekalkan kerusi itu selepas calonnya Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi, menewaskan pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH, berkata kerajaan menghormati keputusan rakyat di Kimanis yang mungkin dipengaruhi isu-isu tersendiri di peringkat negeri Sabah dan kawasan Parlimen itu termasuk isu Pas Sementara Sabah (PSS).

“Yang pentingnya adalah kita melihat apa yang kita boleh perbaiki diri sendiri, memang ada isu seperti PSS, semua itu, tetapi keputusan PSS itu adalah masa Barisan Nasional (BN) dan mereka sekarang menyatakan itu kesalahan kita (kerajaan PH).

“(Sebenarnya) tidak, kita memperbaiki keadaan, mungkin mesejnya tidak sampai ke bawah,” katanya.

Pada September tahun lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama masyarakat Cina ketika Program Edaran Limau Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Parlimen Pandan di Pasar Taman Muda. - Foto Asyraf Hamzah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama masyarakat Cina ketika Program Edaran Limau Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Parlimen Pandan di Pasar Taman Muda. - Foto Asyraf Hamzah

Cadangan pelaksanaan PSS itu tular di media sosial sehingga menimbulkan kontroversi berikutan tindakan pihak tertentu memutar-belit fakta sehingga berlaku kekeliruan.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah selaku pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin PKR untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan terhadapnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Ahli Parlimen Ampang itu pada Jumaat lalu.

Terdahulu, timbalan perdana menteri mengedarkan 500 kotak buah limau mandarin dan beramah mesra dengan penduduk di pasar pagi Pandan Jaya dan Taman Muda di Parlimen Pandan di sini, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai PRK Parlimen Kimanis
  • Berita Harian X