Isnin, 20 Januari 2020 | 1:41pm
Chieng Jen (dua dari kanan) meninjau harga pelbagai barangan termasuk ayam, daging dan bawang pada pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di sebuah pasar raya hari ini. - Foto BERNAMA
Chieng Jen (dua dari kanan) meninjau harga pelbagai barangan termasuk ayam, daging dan bawang pada pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di sebuah pasar raya hari ini. - Foto BERNAMA

16 barang disenarai SHMMP Tahun Baharu Cina

KUCHING: Sebanyak 16 barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020 yang dikuatkuasakan selama 14 hari mulai hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, berkata skim itu dilaksanakan sebagai langkah untuk membendung kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan berkenaan.

Beliau berkata, semua barangan yang disenaraikan itu mendapat permintaan tinggi pada perayaan berkenaan dengan penambahan tiga barang berbanding hanya 13 pada tahun lalu.

“Tiga barang keperluan utama yang baru disenaraikan tahun ini ialah cili merah, tomato dan ubi kentang China,” katanya pada sidang media selepas lawatan pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2020 di pasar raya Emart di Batu Kawa, di sini, hari ini.

Barangan keperluan yang disenaraikan dalam SHMMP ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, ubi kentang China, bawang putih China, ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Chieng Jen berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, pelaksanaan SHMMP menerima sambutan serta kerjasama yang baik daripada peniaga dan berharap keadaan itu berterusan.

Katanya lagi, pemantauan akan dilaksanakan di seluruh negara membabitkan lebih 3,000 penguatkuasa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini mengikutAkta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

“Kesalahan sama bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula boleh didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5000 bagi kesalahan individu dan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan syarikat.

Berita Harian X