Selasa, 21 Januari 2020 | 6:08pm
Gambar fail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kabinet tentukan pelaksanaan PSP - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyerahkan keputusan untuk melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) kepada Kabinet.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kabinet akan membuat keputusan berdasarkan hasil perbincangan mengenai pelan komunikasi antara kementerian dan Kementerian Kewangan.

“Kami mengadakan mesyuarat pada minggu pertama Januari dan akan sama-sama menyediakan laporan kepada Kabinet. Kabinet akan membuat keputusan.

“Status terkini ialah ditangguhkan, bukan menghentikannya. Kami telah diberi tanggungjawab untuk membuat pelarasan kecil (ke atas PSP), ” katanya kepada pemberita di luar Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2020 di sini, hari ini.

PSP yang dijadualkan dilaksanakan Januari 2020, ditangguhkan kepada tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

Program itu untuk membantu 2.9 juta orang dalam kumpulan B40 yang layak mendapat Bantuan Sara Hidup (BSH).

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan PSP akan diperluaskan untuk membabitkan kira-kira lima juta golongan berpendapatan sederhana dengan pendapatan isi rumah bulanan kurang RM4,000.

Saifuddin berkata, kementeriannya mengenal pasti kriteria untuk kelayakan bagi skim PSP.

“Ada beberapa kaedah yang akan kami teliti. Setakat ini, kami bersedia,” katanya.

Mengenai kemajuan Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Monopoli, Saifuddin berkata prosesnya masih berjalan dengan mesyuarat dijadualkan dipengerusikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Kami membincangkan syarikat-syarikat seperti Pharmaniaga dan Puspakom dalam beberapa mesyuarat sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan, Saifuddin berkata Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Monopoli adalah antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan, merakumi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terbabit dalam proses meminda Akta Persaingan 2010 untuk memasukkan peruntukan penggabungan yang memberikan MyCC kuasa untuk menyemak transaksi penggabungan yang mempunyai kesan anti-persaingan yang memudaratkan dalam pasaran.

Saifuddin berkata, pindaan itu akan membantu mengurangkan penggabungan anti-persaingan dan membantu kementerian mengawal kos sara hidup rakyat.

“Kementerian saya melalui MyCC, akan terus memantau pasaran ride-hailing dalam talian selepas penggabungan untuk memastikan pengguna mendapat layanan yang adil dan ditawarkan harga yang berpatutan untuk perkhidmatan ride-hailing,” katanya.

Forum sehari itu adalah anjuran Kingsley Strategic Institute dan Economic Club of Kuala Lumpur. – BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X