Rabu, 22 Januari 2020 | 2:38pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Berhenti bincang mengenai peralihan kuasa - Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) supaya tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka dan menghormati konsensus yang disepakati pada Januari 2018.

Presiden PKR itu juga kekal dengan pendiriannya sebelum ini dengan menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengemudi dan memperkukuhkan ekonomi negara.

"PH dan Tun Dr Mahathir berulang kali menegaskan komitmen untuk menjayakan proses peralihan seperti yang dipersetujui.

"Maka sewajarnya kita turut menghormati keputusan terbabit supaya ianya berlaku secara aman dan teratur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan terbaru Ahli Parlimen Port Dickson itu dipercayai merujuk kepada perang mulut dalam kalangan penyokong kedua-dua pemimpin terbabit.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan kelmarin, mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin dalam PH mempersoalkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan desakan supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai tidak bertanggungjawab dan membelakangkan konsensus PH.

Bagaimanapun kenyataan Syed Saddiq itu dikecam Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy daripada DAP yang mahu Ketua Pemuda PH itu tidak mempersoalkan hak demokratik untuk meminta Dr Mahathir menghormati perjanjian menyerahkan kepemimpinan negara kepada Anwar.

Selain itu, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang menyangkal dakwaan Syed Saddiq kononnya pihak yang mendesak Dr Mahathir supaya berundur sebagai mengingkari persetujuan bersama dalam PH.

Katanya, walaupun Syed Saddiq bertegas mengenai konsensus PH, namun menteri itu tidak memberi sebarang reaksi apabila sesetengah pihak mendesak Dr Mahahir supaya berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Berdasarkan konsensus PH pada Januari 2018, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar namun tiada tarikh tertentu ditetapkan.

Berita Harian X