Rabu, 22 Januari 2020 | 4:25pm

Bayar bil, menang hadiah ke luar negara

KUALA LUMPUR: Dua pengguna aplikasi JomPAY mendapat durian runtuh apabila memenangi hadiah percutian ke luar negara masing-masing ke Mexico dan Itali.

Nur Emylia Shahira Yaacub, 22, dipilih untuk bercuti ke Mexico manakala Heng Huey Yi, 43, dipilih ke Itali menerusi kempen ‘JomPAY Cuti-Cuti With Bil To The 7 Wonders of The World!’ yang diadakan tahun lalu.

Nur Emylia yang berasal dari Negeri Sembilan, adalah seorang daripada tujuh pengguna JomPAY yang terpilih bagi memenangi pakej percutian ke tujuh destinasi berbeza.

“Saya tidak pernah menyangka untuk melancong ke luar negara, lebih-lebih lagi ke Mexico.

“Siapa sangka, dengan hanya menggunakan JomPAY untuk pembayaran bil elektrik dan air melalui aplikasi Maybank2u, melayakkan saya memenangi pakej percutian ke sana.

“Bulan lalu, pihak JomPAY menghubungi saya dan meminta menjawab beberapa soalan, sebelum memaklumkan mengenai kemenangan ini.

“Saya rasa sangat bertuah kerana sebelum ini saya memang tidak tahu-menahu mengenai kempen ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan hadiah, hari ini.

Beliau akan membawa ibunya ke sana.

“Ketika diberitahu menerusi panggilan telefon dan emel, saya tidak dimaklumkan mengenai destinasi percutian dan hanya mengetahuinya berdasarkan cabutan undian yang dilalukan hari ini,” katanya.

Kempen yang berlangsung bermula Julai sehingga Oktober tahun lalu turut menawarkan pakej pelancongan ke enam destinasi lain kepada enam pemenang berbeza iaitu negara China, Brazil, Itali, Peru, India dan Jordan.

Sementara itu, Huey Yi, pula mengganggap kemenangannya seperti sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.

“Ini adalah kali pertama saya menang ‘cabutan bertuah’ yang membabitkan percutian.

“Kemenangan ini seolah-olah merealisasikan impian saya kerana sebelum ini saya memang merancang untuk menyambut ulang tahun di Itali tahun depan,” katanya.

Majlis penyerahan pakej percutian kepada tujuh pemenang itu disempurnakan oleh Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Peter Schiesser.

Menurut Schiesser, kempen yang diadakan selama tiga bulan itu bertujuan memberi penghargaan kepada pengguna perbankan dalam talian yang menggunakan JomPAY sebagai platform pembayaran bil, sejajar dengan aspirasi negara untuk mempercepat transformasi menjadi negara tanpa tunai.

“JomPAY mencatatkan peningkatan 40 peratus penggunaan pembayaran bil semasa tempoh tiga bulan peraduan dijalankan,” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan, Payment Network Malaysia Sdn. Bhd., Peter Schiesser (empat dari kiri) bersama pemenang-pemenang kempen "Jom PAY Cuti-Cuti With Bil To The 7 Wonders Of The World" (dari kiri) Kezia Ramet Pangiran yang mewakili Muhammad Ab'bel Jibet, Sukry Abdul Wahab, Michelle Lim Ming Yi, Heng Huey Yi, Yasmin Khairi yang mewakili Lim Soh Ping, Nur Emylia Shahira dan Khor Kean Seng di The Farm Foodcraft, The Sphere. NSTP/Khairul Azhar Ahmad.
Berita Harian X