X
Rabu, 22 Januari 2020 | 7:00pm
Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari. - NSTP/Eizairi Shamsudin

HDC promosi tenaga kerja Malaysia bagi industri halal global

PETALING JAYA: Halal Development Corporation Berhad (HDC) merancang mempromosikan sehingga 700 profesional Malaysia di pasaran antarabangsa bagi menampung permintaan tinggi terhadap tenaga kerja yang memiliki pengalaman dalam sektor halal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari, berkata tenaga kerja profesional ini akan diperlukan bagi operasi halal syarikat serta pertukaran teknologi dengan empat negara iaitu Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan China.

“Negara terbabit majoriti penduduknya bukan Islam dan pengetahuan mereka mengenai adalah terbatas. Justeru, bagi memenuhi keperluan produk dan perkhidmatan diperakui halal, mereka mungkin memerlukan bantuan pakar dari Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hairol berkata, setiap tahun seramai 50,000 graduan tempatan dalam kursus berkaitan halal dilahirkan dan kira-kira 10,000 Kakitangan Berpengetahuan Halal yang berkelayakan bekerja dalam industri halal.

Beliau turut berkata, HDC yakin akan dapat mencapai sasaran eksport bernilai RM50 bilion tahun ini berbanding RM41 bilion tahun lalu.

Katanya, langkah untuk memperkenalkan profesional Malaysia ke pasaran luar negara boleh meningkatkan eksport kira-kira RM2 bilion serta menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM2 bilion.

“Apabila mereka bersedia memasuki industri halal, mereka memerlukan bahan atau ramuan untuk dieksport kerana kekurangan bahan halal di negara mereka.

“Sekiranya mereka berminat menubuhkan operasi di luar negara pula, Malaysia adalah destinasi yang terkenal dalam bidang halal dan sesuai untuk pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Hairol berkata HDC akan membantu lebih 5,000 syarikat dalam urusan pematuhan halal tahun ini.

“Ketika ini, terdapat sebanyak 8,500 syarikat diperakui halal dan kami mahu membantu lebih banyak syarikat mewujudkan peluang tambahan bagi komuniti ekosistem halal Malaysia,” katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X