Khamis, 23 Januari 2020 | 6:07pm
PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M. Yusop (tiga,kanan) serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad (kiri) bergambar bersama 21 penerima zakat pada Majlis Pelancaran Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai ejen Perunding Lembaga Zakat Selangor di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM. Turut hadir Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad (dua,kiri) dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (dua, kanan). - Foto BERNAMA

1,021 asnaf veteran ATM terima bantuan

KUALA LUMPUR: Seramai 1,021 asnaf veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk balu dan anak mereka mendapat manfaat daripada Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM berjumlah RM524,800, sepanjang tahun lalu.

Wang itu dibelanjakan bagi bantuan ‘Back To School’, kebajikan am, pendidikan dan peralatan pesakit.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata bagi tahun ini, pihaknya menyasarkan sebanyak RM1 juta bayaran zakat harta (perniagaan) menerusi Yayasan Veteran ATM.

“Sasaran itu dibuat selepas kita yakin jumlah penerima bantuan berkenaan akan meningkat. Dalam usaha mendapatkan RM1 juta itu, kementerian memerlukan kerjasama pihak usahawan, korporat dan syarikat lain untuk membayar zakat perniagaan mereka menerusi Yayasan Veteran ATM,” katanya.

Teks ucapan Mohamad dibacakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada majlis pelancaran Yayasan Veteran ATM sebagai ejen perunding Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Jabatan Hal Ehwal Veteran perlu giat mendapatkan maklumat dan mengesan semua asnaf veteran ATM supaya tiada golongan yang tercicir daripada menikmati manfaat daripada kementerian.

“Saya juga selalu tegaskan tanggungjawab membantu veteran ATM tidak terletak di bahu kementerian semata-mata, sebaliknya memerlukan bantuan daripada kerajaan, pihak swasta dan orang ramai.

“Kita perlu memastikan nasib veteran ATM akan terus terbela selepas menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya.

Berita Harian X