Khamis, 23 Januari 2020 | 7:44pm

4 disyaki kena coronavirus disahkan negatif

KUALA LUMPUR: Ujian makmal terhadap empat individu yang disyaki dijangkiti coronavirus baharu dikenali sebagai 2019-nCoV, disahkan negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan menerima laporan empat kes, dua di Sabah dan Selangor.

Katanya, semua empat individu itu dimasukkan ke wad pengasingan sebaik dikesan, bagi membolehkan rawatan dan siasatan dijalankan.

“Ujian makmal pada sampel tiga pesakit pertama didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV. Seorang lagi pesakit baru dikesan dan dimasukkan ke wad pengasingan di Sabah semalam, sebelum sampelnya dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV atas kes terbabit turut mengesahkan beliau negatif bagi jangkitan coronavirus baharu itu.

“Gejala yang dialami oleh beliau adalah disebabkan oleh jangkitan influenza A. Beliau kini beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

2019-nCoV mula tersebar di Wuhan sejak awal bulan ini apabila beberapa individu memiliki simptom seperti pneumonia, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan ia adalah wabak koronavirus yang baharu.

Beberapa kes di luar Wuhan mula dikesan kemudian, termasuk di Beijing, Shanghai dan Guangdong, selain Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat. Pihak berkuasa China mengesahkan 571 kes dan 17 kematian dicatatkan setakat semalam (Rabu).

Sebuah pasar makanan laut dan haiwan eksotik di Wuhan dipercayai menjadi punca wabak itu, manakala beberapa media antarabangsa melaporkan ia berkemungkinan tersebar kepada manusia daripada ular, yang turut dijual di pasar berkenaan.

Mengulas langkah siap siaga dilaksanakan Kementerian Kesihatan selaras saranan WHO, Dr Noor Hisham memaklumkan, aktiviti saringan di pintu masuk antarabangsa kini diperkukuh dan individu disyaki akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, saringan pesakit di klinik kesihatan dan hospital turut diperkukuh, manakala tatacara pengurusan kes disyaki wabak 2019-nCoV membabitkan fasiliti kesihatan dan swasta turut dikeluarkan.

Sementara itu, beliau turut menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China bagi mencegah penularan wabak 2019-nCoV, namun jika terpaksa, mereka perlu mengelak mengunjungi tempat tumpuan umum atau bergaul rapat dengan individu yang memiliki gejala wabak berkenaan.

Jelasnya, mereka juga perlu mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, selain membawa penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu.

“Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan serta mengelak memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

“Mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun sukar bernafas, dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan itu.

“Maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” jelasnya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X