Jumaat, 24 Januari 2020 | 12:00am
SEORANG warga China diuji positif sekali gus menjadi mangsa pertama wabak coronavirus di negara seberang tambak itu.

Singapura catat kes coronavirus pertama

SINGAPURA: Seorang warga China diuji positif sekali gus menjadi mangsa pertama wabak coronavirus di negara seberang tambak itu.

Lelaki berusia 66 tahun berasal dari Wuhan, China tiba di Singapura bersama sembilan rakan lain, pada Isnin lalu menginap di Resort Shangril-La Rasa Sentosa, dekat sini.

The Straits Times melaporkan hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan mengesahkan kes itu.

Menurut kenyataan itu, seorang wanita warga China berusia 53 tahun juga didapati positif ujian awal wabak berkenaan, namun perkara itu sedang disahkan.

Tambahan itu, anak lelaki mangsa yang dijangkiti coronavirus, berusia 37 tahun turut disyaki terkena wabak sama dan seterusnya dimasukkan ke wad.

Dalam perkembangan sama, lapan individu dari kumpulan yang tiba bersama ke Singapura sudah pun berangkat pulang dari negara berkenaan dan kementerian sudah menghubungi pihak berkuasa negara yang mereka tujui.

Kementerian Kesihatan Singapura menegaskan tiada bukti menunjukkan wabak itu tersebar kepada umum.

Selepas kerajaan Singapura mengambil langkah untuk menjalankan pemeriksaan haba terhadap semua pelancong yang menggunakan sistem penerbangan dari China, jumlah kes disyaki meningkat.

Keseluruhannya, sebanyak 28 kes disyaki membabitkan individu berumur satu hingga 78 tahun. Dari jumlah itu, tujuh orang bebas.

Pengarah Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Singapura, Prof Madya Vernon Lee, berkata semua langkah diambil untuk membendung risiko sebaran wabak.

Beliau berkata, terdapat potensi kes itu akan meningkat mengambil kira jumlah besar pelancong China masuk ke Singapura.

“Sebagai mana kes pertama, lelaki itu sudah diasingkan dan tidak berisiko kepada orang awam.

“Jadi, tidak perlulah orang awam panik atau lakukan langkah khas lain. Bagi mereka yang sah dijangkiti wabak akan dikuarantinkan,” katanya.

Berita Harian X