Sabtu, 25 Januari 2020 | 1:49pm
Jabatan Kesihatan Kelantan memperketatkan saringan di empat pintu masuk. - Foto NSTP
Jabatan Kesihatan Kelantan memperketatkan saringan di empat pintu masuk. - Foto NSTP

Coronavirus: Kelantan ketat saringan di empat pintu masuk

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan memperketatkan saringan di empat pintu masuk termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, sebagai langkah mengekang penularan coronavirus.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata semua pintu masuk berkenaan termasuk tiga di kawasan sempadan iaitu Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Jeli itu menempatkan kakitangan untuk tujuan saringan.

“Saringan turut dilakukan di LTSIP memandangkan terdapat penerbangan antarabangsa dari Singapura ke Kota Bharu.

“Kita menjalankan saringan imbasan terma untuk mengesan mereka yang demam. Sekiranya mereka datang dari kawasan yang terdapat kes atau wabak, kita perlu mendapatkan penjelasan lebih terperinci.

“Jika terdapat tanda-tanda klinikal, pegawai perubatan akan membuat keputusan sama ada perlu dimasukkan ke hospital atau sebaliknya.

“Pada masa sama, kita turut mengagihkan kad yang mengandungi nasihat sekiranya terdapat tanda-tanda virus berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, setakat ini saringan berjalan seperti biasa dan tiada kes berhubung coronavirus dilaporkan setakat ini.

Terdahulu Kementerian Kesihatan (KKM) mengaktifkan serta merta Pasukan Bertindak Cepat (RRT) dan Pasukan Penilaian Cepat (RAT) yang ditugaskan menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan, sejurus tiga kes positif jangkitan coronavirus 2019-nCoV disahkan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata bagi memastikan keselamatan, kesemua anggota kesihatan diarah memberi perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan yang optimum sepanjang masa.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X