Sabtu, 25 Januari 2020 | 2:38pm
MAHB bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak coronavirus. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
MAHB bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak coronavirus. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Penumpang antarabangsa, kru pesawat diimbas untuk coronavirus di lapangan terbang - MAHB

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak coronavirus di Wuhan, China.

Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB bersama-sama agensi dan syarikat penerbangan berkaitan mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua, terutama penumpang dan kakitangan yang bekerja di terminal.

“Kami memberi jaminan kepada semua bahawa kami mengambil serius ke atas wabak ini dan kami tidak akan menjejaskan kesejahteraan pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara langkah yang diambil oleh kementerian dan disokong oleh MAHB ialah menjalankan pemeriksaan haba ke atas penumpang dan anak kapal yang tiba dari China.

“Kami menyediakan ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin di pintu masuk ketibaan untuk menempatkan penumpang yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus berkenaan.

“Selain itu, kami telah menetapkan pintu masuk lain bagi ketibaan penerbangan masuk dari China di kawasan yang lebih dekat dengan tempat khas perubatan bagi mempercepat prosedur kuarantin dan meminimumkan risiko pendedahan kepada orang ramai,” kata MAHB.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pemberita bahawa tiga orang yang terdiri daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru, positif coronavirus yang juga dikenali sebagai coronavirus Wuhan.

Ketiga-tiganya kini dirawat di wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh.

MAHB berkata rakan kongsi syarikat penerbangan itu membuat pengumuman perlu kepada penumpang mereka serta mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (HAC) yang dikeluarkan oleh kementerian untuk penumpang memaklumkan mengenai keadaan kesihatan mereka, HAC juga diedarkan di kaunter imigresen.

Mereka yang demam atau batuk atau menghadapi kesukaran bernafas akan dibawa ke hospital terdekat sebaik tiba.

“Lapangan Terbang telah menyediakan topeng dan sanitari tangan untuk kakitangan, di lokasi strategik di seluruh terminal.

“Malaysia Airports mengingatkan orang ramai supaya memakai topeng setiap masa dan menggunakan sanitizer tangan untuk mengekalkan kebersihan maksimum semasa wabak ini,” kata MAHB. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X