Sabtu, 25 Januari 2020 | 7:28pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diberi penerangan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Mahesh Appannan (kanan) mengenai status terkini penularan wabak koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia selepas sidang media mengenai wabak 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), Putrajaya, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri). - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Cara jangkitan coronavirus 2019-nCOV belum jelas

KUALA LUMPUR: Cara jangkitan coronavirus 2019-nCoV belum diketahui secara jelas, meskipun kes dikesan setakat ini mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ada bukti menunjukkan berlakunya penularan daripada seorang individu kepada individu yang lain, khususnya dalam kalangan kontak rapat.

Sehubungan itu katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu, melalui maklumat daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga KKM, akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya, dilaksanakan secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai khususnya pelancong, sama ada semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia, untuk mengamalkan beberapa langkah pencegahan termasuk ​​​ memastikan tahap kebersihan diri yang tinggi, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pensanitasi tangan.

Katanya, sepanjang dalam tempoh lawatan, orang ramai perlu sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung, serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu, selain mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang menunjukkan simptom.

“Elak melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan dan elak memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna”, katanya.

Noor Hisham berkata, orang ramai turut dinasihati segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan tersebut.

“Maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” katanya. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X