Sabtu, 25 Januari 2020 | 8:01pm
CUEPACS mahu semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang memeriksa warga asing khususnya dari China di setiap pintu masuk negara, segera dibekalkan peralatan pencegahan. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
CUEPACS mahu semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang memeriksa warga asing khususnya dari China di setiap pintu masuk negara, segera dibekalkan peralatan pencegahan. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Segera agih alatan cegah jangkitan kepada petugas pintu masuk negara - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang memeriksa warga asing khususnya dari China di setiap pintu masuk negara, segera dibekalkan peralatan pencegahan bagi mengelak sebarang jangkitan coronavirus.

Langkah ini perlu susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan virus berkenaan dijangkiti tiga individu dari Wuhan, China, yang memasuki negara ini menerusi Singapura, kelmarin.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata langkah berkenaan seharusnya diambil dari awal bagi memastikan tahap kesihatan setiap pegawai dan anggota penguat kuasa terjamin sekali gus terhindar dari wabak berkenaan.

“Pegawai dan anggota penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan seperti anggota imigresen, kastam dan agensi awam lain yang berhadapan dengan pelancong dari China, perlu dibekalkan dengan peralatan pencegahan bagi menjamin kesihatan mereka dari dijangkiti virus berkenaan.

“Pada masa ini, kami mendapati setiap jabatan dan agensi kerajaan masih belum mempunyai sebarang perancangan dalam pengagihan topeng (Mask N95), sarung tangan dan sanitizer untuk anggota penguat kuasa mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menerusi KKM perlu menyegerakan perbekalan kelengkapan pencegahan bagi kegunaan anggota yang bertugas di pintu2 masuk sama ada di pintu laut, darat dan udara.

Katanya, kerajaan juga perlu membuat penerangan lengkap dengan kadar segera mengenai virus berkenaan dan serta status jangkitan bagi memberi lebih pengetahuan kepada anggota agensi keselamatan yang melakukan pemeriksaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X