Sabtu, 25 Januari 2020 | 11:56pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Kes baru coronavirus dikesan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kes terbaru 2019 Novel Coronavirus atau 2019-nCoV membabitkan seorang lelaki rakyat China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan, berkata lelaki berusia 40 tahun itu disahkan positif 2019-nCoV hasil ujian pengesanan dan pengesahan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Beliau bagaimanapun berkata kes terbaru itu tidak mempunyai kaitan dengan tiga lagi kes yang dilaporkan awal hari ini.

“Kes ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga kes positif yang telah dilaporkan pada awal hari ini, sebaliknya adalah kes baru membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China.

“Kes tiba di Johor Bahru pada 22 Januari lalu dengan menaiki bas dari Singapura. Kes datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya termasuk isteri dan seorang anak mangsa.

“Kes mengalami gejala demam pada 23 Januari dan keesokan harinya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dirujuk untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes dihantar ke IMR pada petang 25 Januari lalu dan pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menerima laporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV.

Sementara itu, katanya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor bertindak segera dengan mengesan kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancongan yang disertai oleh kes dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan.

Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh.

Kesemua kontak terbabit seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Berita Harian X