Ahad, 26 Januari 2020 | 8:59pm
Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi membuat saringan suhu di Terminal Feri Kuah, hari ini. - Foto BERNAMA
Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi membuat saringan suhu di Terminal Feri Kuah, hari ini. - Foto BERNAMA

Coronavirus: Kemasukan pelancong ke Langkawi terjejas hampir 40 peratus

KUALA LUMPUR: Pendapatan dari pelancongan di Langkawi dijangka berkurangan hampir 40 peratus berikutan penularan Coronavirus baharu (2019-nCoV).

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainuddin Kadir, berkata ini kerana kira-kira 40 peratus daripada pasaran pelancongan di Langkawi disumbangkan daripada kedatangan pelancong China ke pulau itu.

Zainuddin berkata, antara faktor yang mungkin menyebabkan penurunan jumlah pelancong ke Langkawi adalah pembatalan penerbangan terus dari China ke Pulau Langkawi.

Tambahan lagi, kerajaan China sendiri mengambil langkah berjaga-jaga dengan membatalkan penerbangan ke luar negara dari bandar tertentu.

“Tahun ini disasarkan 30 juta pelancong ke Malaysia sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) dan 5 juta daripada jumlah itu dijangka disumbangkan oleh pelancong ke Langkawi.

“Bagaimanapun, bukan sahaja pelancong asing yang terkesan, rakyat Malaysia juga khuatir untuk melancong ke sini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pada ketika ini, LTA mengambil inisiatif dengan menempatkan ahlinya di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk melakukan pemantauan bagi mengesan lebih awal kes berkaitan wabak berkenaan.

Beliau juga berkata maklumat tepat dan telus juga penting untuk memastikan sektor pelancongan di Langkawi kembali berkembang.

LTA pada masa sama akan turut mengadakan solat hajat supaya Pulau Langkawi bebas daripada penularan wabak merbahaya berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X