Isnin, 27 Januari 2020 | 4:29pm
Pusat Pemantauan Saringan suhu badan bagi mengesan wabak 2019 Novel coronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pusat Pemantauan Saringan suhu badan bagi mengesan wabak 2019 Novel coronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Malaysia sekat sementara kemasukan pelawat Wuhan, Hubei

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggantung sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta bandar sekitarnya, susulan penyebaran coronavirus baharu yang merebak ke banyak negara, termasuk Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan petang ini memaklumkan, penggantungan itu membabitkan semua kemudahan Imigresen kepada warga China dari bandar terbabit, meliputi kemudahan tanpa visa, visa semasa ketibaan (VOA), e-visa dan visa manual.

Kenyataan itu menyebut, kemudahan imigresen berkenaan akan diberikan semula selepas keadaan kembali normal.

"Berikutan dengan maklumat terkini, kerajaan mengambil keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan, e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya.

"Keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di wilayah Hubei dan ia adalah berkuatkuasa serta merta," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak kerajaan China.

"Kerajaan sudah mengikut prosedur ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini dari merebak dengan meluas.

"Pemantauan sudah dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan," katanya.

Katanya, kerajaan juga mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkaitan coronavirus yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.

Orang ramai memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan jangkitan coronavirus di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Orang ramai memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan jangkitan coronavirus di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X