Selasa, 28 Januari 2020 | 10:07am
PRESIDEN AMANAH, Mohamad Sabu. - Foto Saddam Yusoff

AMANAH kecam mengkafirkan sesama Islam

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam tindakan mengkafirkan sesama umat Islam atau takfiri yang disifatkan semakin menular dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, berkata tindakan itu jika tidak dihentikan segera boleh mencemarkan imej Islam, sekali gus memusnahkan keharmonian Malaysia seperti yang berlaku kepada negara Asia Barat seperti di Iraq dan Syria.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan, kesal dengan tindakan seorang pemilik akaun Facebook melakukan perbuatan itu, yang memuat naik satu status mensasarkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Rawa dengan menulis ‘Menteri agama, berjiwa kafir.’

“Budaya takfiri ini juga boleh menyemai sikap dan pemikiran melampau sehingga boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

“AMANAH menggesa semua pihak memainkan peranan dalam mengekang budaya tidak sihat dan bercanggah dengan ajaran agama ini, selain melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan, agar ia tidak berulang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, dua laporan polis sudah dibuat ke atas pemilik akaun Facebook berkenaan oleh AMANAH Wilayah Persekutuan dan Terengganu.

Semalam, Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang memuatkan status mengaitkan Mujahid sebagai ‘Menteri agama, berjiwa kafir’.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X