Selasa, 28 Januari 2020 | 7:40pm
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock (dua dari kanan) bersama sebahagian pembantu tadbir sambilan pada sidang media di Ibu Pejabat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock (dua dari kanan) bersama sebahagian pembantu tadbir sambilan pada sidang media di Ibu Pejabat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

NUTP rayu 134 PSH dapat jawatan tetap

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu pertimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memangku jawatan Menteri Pendidikan, menyerap pembantu tadbir (PT) dan pembantu guru Gred N17/N19 berstatus sambilan di Melaka dan Kedah ke dalam perkhidmatan awam.

Ia berikutan 134 orang golongan berkenaan yang berstatus Pekerja Sambilan Harian (PSH) kehilangan pekerjaan selepas menerima pemberitahuan penamatan perkhidmatan pada 30 November tahun lalu menerusi aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pegawai Kementerian Pendidikan.

Jawatan PT Rintis diperkenalkan pada 2012 menerusi Program Pelaksanaan Rintis Strategi Lautan Biru (NBOS) - Pemantapan Profesion Guru, dengan Melaka menjadi negeri pertama melaksanakannya sebelum disusuli Kedah.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata pihaknya beberapa kali membantu membuat rayuan untuk kumpulan berkenaan.

“Pembantu tadbir dan pembantu guru sambilan ini diharap dapat diserapkan ke dalam perjawatan tetap, seiring hasrat kerajaan mewujudkan jawatan pembantu pengajar bagi mengurangkan beban guru.

“Tempoh perkhidmatan bagi jawatan pembantu tadbir dan pembantu guru secara sambilan di Melaka dan Kedah bermula pada 2012 sebelum ditamatkan 30 November lalu.

“Kumpulan ini sudah diberi pendedahan dan latihan berkaitan tugas serta tanggungjawab, justeru mereka wajar diserapkan ke jawatan tetap atau sekurang-kurangnya disambung kontrak seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Huat Hock berkata, kerajaan wajar memberikan kumpulan pekerja itu tempoh peralihan sementara memperoleh pekerjaan lain, berbanding tarikh muktamad penamatan perkhidmatan.

“Mereka sudah mahir dengan aplikasi dibangunkan kementerian seperti Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (EMIS), e-Operasi, Sistem Pengurusan Latihan Guru (SPLG) dan Aplikasi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).

“Gaji bulanan mereka hanya RM1,030 iaitu bayaran RM54 sehari yang dibayar berdasarkan bilangan hari bekerja dan tiada peruntukan cuti diberikan,” katanya.

Seorang PSH, Norhayana Ali, 32 dari Kulim, Kedah, terkilan ditamatkan perkhidmatan tanpa pemberitahuan rasmi, selain mengakui sukar memperoleh pekerjaan lain berikutan faktor usia dan sudah lama berkhidmat di tempat sama.

“Saya risau memikirkan masa depan kerana kehilangan pekerjaan pada usia 30-an, di samping berasa peranan kami diperlukan oleh guru yang dibebani tugas mengajar.

“Dengan dengan PSH, mereka tidak perlu melakukan kerja perkeranian,” katanya.

Siti Syarliza Md Jiwa, 36, dari Baling, Kedah, mendakwa ada sekolah terpaksa membayar gaji kumpulan itu menggunakan Dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau duit saku sendiri demi kelancaran tugas guru.

“Bagaimanapun ia bukan jaminan kerana sekolah hanya mampu membayar sebulan berjumlah RM30 atas dasar simpati dan mahu urusan sekolah berjalan lancar,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Berita Harian X