Rabu, 29 Januari 2020 | 5:40pm
Hospital Sungai Buloh.
Hospital Sungai Buloh.

Pesakit coronavirus dikendali secara cermat - Pakar HSB

KUALA LUMPUR: Pengendalian pesakit yang dikaitkan dengan jangkitan coronavirus 2019-nCOV di negara ini, dilakukan penuh cermat, dengan rawatan terhadap mereka bermula sebaik sahaja pesakit itu disyaki dijangkiti virus berkenaan.

Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh (HSB), Dr Yasmin Muhamed Gani, berkata proses isolasi pesakit yang disyaki akan dimulakan awal dan mereka tidak akan ditempatkan di wad awam.

“Apabila kami (pengamal kesihatan) ada pesakit dengan simptom (coronavirus), kami akan kuarantin dan asingkan mereka. Kami akan henti isolasi sekiranya keputusan ujian terhadap pesakit disahkan negatif dan mereka telah pulih sepenuhnya.

“Lazimnya, keputusan ujian pengesanan yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dapat diketahui dalam tempoh 24 jam, dan sekiranya ujian mengesahkan positif, kami akan teruskan dengan isolasi pesakit dan dipantau rapi,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dikenali sebagai 2019-nCoV, coronavirus yang menyebabkan keadaan seperti radang paru-paru, mula dikesan pada Disember lalu di Wuhan, China, dan gejala jangkitan termasuk demam, batuk dan sukar bernafas.

Dr Yasmin berkata, staf yang menjaga pesakit coronavirus juga amat berpengalaman dalam mengendalikan penyakit berjangkit.

“Kami mempunyai pasukan berdedikasi yang terlatih akan jaga pesakit. Mereka (doktor/jururawat) akan bertugas secara berpasangan (untuk pemantauan) minimum dua kali sehari.

“Kenapa berdua? Supaya mereka boleh pantau sesama mereka untuk mengelakkan sebarang kesilapan rawatan dan sebagainya. Di luar (bilik) juga ada seorang yang akan menjaga untuk memastikan dua orang berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya cara pemakanan pesakit adalah mengikut diet hospital, manakala utensil makanan mereka terdiri daripada jenis pakai buang bagi mengelakkan penyebaran virus.

Mengenai cara pengesanan coronavirus pula, katanya ia akan dilakukan menerusi pemeriksaan kahak, manakala bagi pesakit yang tiada kahak, doktor akan menggunakan kaedah Oropharyngeal swab iaitu pemeriksaan menerusi bahagian dalam hidung.

“Pengendalian spesimen dilakukan dengan penuh bertanggungjawab dan ia akan dimasukkan di dalam bungkusan tiga lapis bagi mengelak penyebaran virus,” katanya.

Setakat ini, tujuh individu disahkan positif koronavirus di negara ini, dengan kesemua kes itu membabitkan warga China.

Dr Yasmin berkata, tiga individu terbaharu yang dilaporkan positif awal pagi tadi pula berada dalam keadaan stabil dan pemantauan sedang dilakukan dengan rapi.

Sementara itu mengenai langkah pencegahannya pula, Dr Yasmin menyarankan agar kebersihan diri sentiasa dijaga setiap masa.

“Sentiasa cuci tangan, elakkan daripada menggosok muka dan mata tanpa membasuh tangan. Juga elakkan kontak dengan haiwan liar dan adalah selamat untuk memakai topeng muka.

“Mereka yang rasa ada sakit tekak, batuk atau simptom lain dinasihatkan berjumpa doktor dengan kadar segera untuk dimulakan rawatan awal,” katanya. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X