Khamis, 30 Januari 2020 | 1:09pm

Coronavirus: Satu kes baharu warganegara China

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaporkan penambahan satu lagi kes positif coronavirus (2019-NCoV) hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak lapan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes terbaharu itu direkodkan berlaku dalam kalangan kontak rapat iaitu isteri kepada pesakit 2019-nCoV ketujuh yang dilaporkan di Johor, semalam.

Kes kelapan itu adalah warganegara China berusia 49 tahun yang sudah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga hari ini adalah sebanyak lapan, iaitu terdiri daripada tiga kes yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan kes Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat.

“Semua kes positif 2019-nCoV ini adalah terdiri daripada warganegara China, ” katanya melalui kenyataan media, di sini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes PUI bagi jangkitan 2019-nCoV adalah seramai 89 orang yang direkodkan dari 10 Januari hingga semalam, yang mana 44 membabitkan warganegara Malaysia; 42 (China) dan masing-masing satu warganegara Jordan, Brazil dan Thailand.

Beliau berkata, tiga kes PUI disahkan positif 2019-nCoV dan sudah dimasukkan ke wad isolasi iaitu dua di Hospital Permai dan satu di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Katanya, 81 kes PUI lagi adalah negatif dengan baki lima masih menunggu keputusan makmal.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 32 orang kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV sudah dikenal pasti dan semuanya diletakkan mengikut Perintah Pemantauan dan Pengasingan serta dipantau rapi oleh KKM.

“Daripada jumlah ini, seramai lima kes daripada kontak rapat ini disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan empat daripadanya dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh, manakala satu di Hospital Permai.

“Semua kes positif dalam kalangan kontak rapat ini berada dalam keadaan stabil manakala ujian makmal ke atas 27 kontak rapat lagi adalah didapati negatif jangkitan 2019-nCoV, ” katanya.

Beliau berkata, bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, KKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan mengenal pasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari negara China dengan meletakkan mereka di bawah pemantauan di rumah dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan Alatan Penilaian Rumah.

Katanya, sekiranya pelajar atau pensyarah itu menunjukkan gejala, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang sudah dikenal pasti dengan segera.

“Selain itu, kementerian bekerjasama erat dengan beberapa kementerian lain bagi membawa pulang 78 orang rakyat Malaysia yang bekerja di Wuhan, China.

“Semua mereka ini akan disaring, diambil sampel dan diletakkan di bawah pemantauan kesihatan selama 14 hari.

“Sekiranya menunjukkan gejala, mereka akan dirujuk ke hospital yang telah dikenal pasti dengan segera, ” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X