X
Jumaat, 31 Januari 2020 | 10:24pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya hadir menyaksikan teater Semarak Pertiwiku yang dipersembahkan di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Teater Semarak Pertiwiku anjuran SPRM dapat sambutan hangat

KUALA LUMPUR: Tepukan gemuruh lebih 1,000 hadirin bergema di Istana Budaya, sebaik pementasan teater muzikal Semarak Pertiwiku anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melabuhkan tirai, malam tadi.

Pementasan malam kemuncak selama lebih dua jam disaksikan menteri Kabinet, ketua agensi keselamatan, ahli korporat dan orang awam itu jelas berjaya menambat hati hadirin dan berjaya menyelitkan elemen pencegahan rasuah dengan baik dan berkesan.

Teater muzikal bermatlamat menyuntik nilai integriti itu, mendapat sambutan menggalakkan apabila disaksikan lebih 3,000 hadirin sepanjang dua hari ia dipentaskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, ketika ditemui selepas pementasan itu berpuas hati dengan lakonan dan persembahan berkenaan dan berharap mesej pencegahan rasuah yang menjadi tunjang utama teater, sampai kepada penonton.

“Sudah tentu (teater sebagai medium berkesan mencegah rasuah). Teater ini antara cara kita sebarkan mesej bagaimana untuk mencegah rasuah.

“Malah, kami mahu lanjutkan lagi (tempoh) persembahan ini, tapi tidak dapat berbuat demikian kerana masa dan batasan lain.

“Namun, pementasan malam ini adalah antara yang terbaik pernah kami saksikan,” katanya pada Malam Gala Pementasan Teater Muzikal Semarak Pertiwiku di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Persembahan teater Semarak Pertiwiku hasil karya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
Persembahan teater Semarak Pertiwiku hasil karya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussian Aljunid; Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial, Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengarang Kumpulan BH, Saidon Idris dan Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan MPB, Azlan Abdul Aziz.

Teater Semarak Pertiwiku pernah dipentaskan di Kuching, Sarawak pada Julai tahun lalu dan dipentaskan semula bermula semalam dan malam ini, dalam dialek Melayu Sarawak.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Istana Budaya serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kelainan pada pementasan ini ditonjolkan menerusi penampilan aktor popular, Ungku Ismail, Anas Ridzuan dan Elya, selain mengekalkan pelakon asal iaitu Sherie Merlis, Anding Indrawani, Chopie Chakap, Shah Kimin dan Taufik Hanafi.

Persembahan teater Semarak Pertiwiku hasil karya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
Persembahan teater Semarak Pertiwiku hasil karya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Persembahan teater Semarak Pertiwiku hasil karya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
Persembahan teater Semarak Pertiwiku hasil karya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Berita Harian X