Ahad, 2 Februari 2020 | 2:15pm
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat diiringi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) menerima majalah sekolah ' The Kijang SIC 1975 ' yang menunjukkan gambar beliau semasa di Tingkatan Lima sekolah tersebut daripada Pengetua Maktab Sultan Ismail (SIC), Rosdi Mat selepas melancarkan 'Dari Bilik Bicara Ke Bilik Darjah (MYC2C)' di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu. - Foto Zaman Huri Isa

Kementerian Pelajaran adakan perbincangan lanjut isu pelaksanaan semula PPSMI

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung pelaksanaan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata setakat ini pihaknya belum berkesempatan lagi untuk berbincang secara terperinci mengenai cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri yang juga Pemangku Menteri Pelajaran.

“Ketika mesyuarat bersama (pentadbiran) yang diadakan di kementerian bersama Dr Mahathir, beliau ada berkongsi pandangan dan visi untuk menggunakan Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran matematik dan sains.

“Kami tidak ada peluang lagi untuk berbincang secara terperinci mengenai pelaksanaannya,” katanya ketika sidang media di Maktab Sultan Ismail, di sini hari ini.

Beliau ditemui di sini selepas menghadiri majlis pelancaran Program ‘Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C) yang dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman dibuat Perdana Menteri bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.

Pengumuman itu dibuat menerusi sebuah rakaman video ringkas mesyuarat sebelum dimuat naik dalam Twitter @chedetoffocial, kelmarin.

Nie Ching berkata, ketika ini penggunaan bahasa Inggeris untuk matematik dan sains hanya bagi Program Dwibahasa (DLP) dan ketika ini ia digunakan oleh 2,000 sekolah di seluruh negara.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai (cadangan) pelaksanaan PPSMI bersama Tun bila beliau ada masa nanti,” katanya.

Berita Harian X