Ahad, 2 Februari 2020 | 3:05pm
Dr Wan Azizah bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendengar penerangan mengenai persediaan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari China berikutan novel coronavirus ketika melawat Air Disaster Center (ADU) di klia2. - Foto ihsan FB Noor Hisham Abdullah
Dr Wan Azizah bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendengar penerangan mengenai persediaan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari China berikutan novel coronavirus ketika melawat Air Disaster Center (ADU) di klia2. - Foto ihsan FB Noor Hisham Abdullah

Hanya yang sihat dibawa pulang esok dari Wuhan - TPM

KUALA LUMPUR: Hanya rakyat Malaysia di Wuhan, China yang sihat akan dibenarkan menaiki pesawat untuk dibawa pulang ke tanah air esok. Mereka kemudian akan menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus tiba di negara ini, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata semua mereka Malaysia yang berada di Wuhan, diwajibkan menjalani tapisan kesihatan mengikut ketetapan kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Setakat ini seramai 132 individu terdiri daripada 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warga negara, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di China untuk dibawa pulang dari Wuhan.

“Misi (bawa pulang) ini disertai lapan petugas iaitu enam pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dan seorang pegawai daripada Kementerian Luar Negeri (KLN).

“Pesawat AirAsia dengan 12 kru digunakan dalam misi ini. AirAsia sudah menetapkan tarikh penerbangan pada esok tertakluk kepada kelulusan Kerajaan China,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penerbangan itu juga akan membawa bantuan keperluan seperti penutup mulut, sarung tangan dan makanan yang tertakluk kepada senarai dipersetujui kerajaan China.

“Saya bertemu semua pegawai yang akan menyertai misi termasuk kru penerbangan untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kerajaan dan rakyat Malaysia khususnya keluarga yang terbabit atas pengorbanan mereka membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.

“Saya juga menasihati mereka menjaga kebajikan dan kesihatan mereka dan semua yang dibawa pulang,” katanya.

Sebaik tiba nanti, kata beliau, mereka yang dikesan mempunyai simptom akan terus dibawa ke hospital sementara manakala yang melepasi saringan akan dibawa dengan bas ke Pusat Pemantauan untuk tujuan pemantauan.

“Saya mendapati persiapan dan kelengkapan perubatan sudah disediakan sebaik mungkin untuk tujuan pemeriksaan kesihatan.

“Saya sudah ke pusat pemantauan untuk meninjau bilik operasi, bilik penginapan dan fasiliti lain disediakan untuk semua 158 penumpang (termasuk lapan pegawai misi, 12 kru penerbangan dan enam pegawai daripada kedutaan Malaysia di Beijing) untuk menjalani pemantauan selama 14 hari,” katanya yang turut melawat Air Disaster Center (ADU) hari ini.

Setakat ini, beliau berpuas hati dengan semua aturgerak dan persiapan dibuat, selain ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit khususnya KKM, AirAsia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan NADMA.

“Marilah kita mendoakan misi ini berjalan lancar dan semua yang dibawa pulang dari Wuhan serta pasukan misi dan kru terbabit selamat,” katanya.

Berita Harian X