Isnin, 3 Februari 2020 | 4:45pm
PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH)
PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH)

PAPUH bimbang Arab Saudi tarik balik visa

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) bimbang pihak Arab Saudi menarik balik keistimewaan penggunaan visa pelancongan kepada jemaah Malaysia susulan kes jemaah lelaki memakai pakaian wanita yang berada di Madinah dan Makkah ketika mengerjakan umrah.

Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata kerajaan Arab Saudi mengenakan undang-undang tegas dan melarang golongan transgender daripada menunaikan ibadah haji dan umrah.

“Hanya jemaah lelaki dan wanita sahaja yang dibenarkan menunaikan haji dan umrah mengikut maklumat jantina seperti di dalam pasport dan ketika permohonan visa mereka.

“Kami berharap hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi tidak akan terjejas disebabkan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Razali berkata, kekhuatiran itu bersandarkan laporan media terhadap jemaah transgender dari Pakistan yang dikenakan hukuman pada 2017 sehingga banyak badan bukan kerajaan (NGO) di negara itu tidak berpuas hati sekali gus menjadikan hubungan di antara negara menjadi tegang.

Beliau turut berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya berhubung kes berkenaan.

“Kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja mencemarkan nama Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya.

Berita Harian X