Isnin, 3 Februari 2020 | 4:51pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) pada sidang media di Ruang Legar Bilik Mesyuarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) pada sidang media di Ruang Legar Bilik Mesyuarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Semua warga Malaysia dibawa pulang dari Wuhan dikuarantin 14 hari

PUTRAJAYA: Semua warga Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China, susulan penularan coronavirus (2019-nCoV), akan dikuarantin selama 14 hari sebaik saja tiba di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah sama turut diambil terhadap kru penerbangan dan pegawai kesihatan serta keselamatan yang membawa mereka pulang.

Malah sepanjang tempoh berkenaan, katanya, ahli keluarga masing-masing juga tidak boleh datang melawat.

Beliau berkata, mana-mana individu dibawa pulang itu yang menunjukkan gejala akan terus dibawa ke hospital rujukan sama ada Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur.

“Mereka yang tiada gejala akan dibawa ke pusat pemantauan terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka hanya akan dibenarkan pulang selepas didapati sihat dan negatif jangkitan selepas tempoh 14 hari terbabit.

“Saya yakin dalam tempoh 14 hari, belum ada yang boleh menziarahi. Mungkin mereka boleh berkomunikasi melalui telefon bimbit,” katanya pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon; dan Pengarah Kawalan Penyakit KKM, Dr Norhayati Rusli.

Dr Dzulkefly bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi pusat pemantauan itu, sebaliknya menjelaskan bahawa ia dilengkapi kemudahan untuk proses terbabit.

Selain itu, beliau menegaskan, orang awam tidak perlu khuatir kerana semua individu berkenaan tidak akan memasuki terminal KLIA.

Menyentuh empat fasa proses membawa pulang pula, katanya, saringan terhadap semua rakyat Malaysia bersama pasangan dan anak mereka akan dilakukan oleh pihak berkuasa China di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan, sebelum dibenarkan menaiki pesawat AirAsia yang melakukan penerbangan misi bantuan kemanusiaan itu.

Dr Dzulkefly berkata, hanya mereka didapati sihat akan dibenarkan menaiki pesawat itu, manakala mereka yang menunjukkan gejala pula perlu tinggal di Wuhan untuk menjalani rawatan.

Beliau berkata, pemantauan akan dilakukan sepanjang penerbangan terhadap mereka yang dibawa pulang, dan diasingkan ke bahagian belakang pesawat sekiranya didapati mempunyai gejala.

“Apabila turun dari pesawat, mereka akan dibawa menaiki bas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk proses dekontaminasi dan saringan kesihatan, termasuk menukar pakaian dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ia akan dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan sebelum pengurusan untuk membawa mereka ke hospital atau pusat pemantauan,” katanya.

Berita Harian X