Isnin, 3 Februari 2020 | 5:21pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - NSTP/Asyraf Hamzah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - NSTP/Asyraf Hamzah
Pasukan Perubatan Kecemasan dan Perkhidmatan Trauma (EMTS) Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan persiapan dengan membawa peralatan untuk berangkat ke Wuhan, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang. - NSTP/Aizuddin Saad
Pasukan Perubatan Kecemasan dan Perkhidmatan Trauma (EMTS) Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan persiapan dengan membawa peralatan untuk berangkat ke Wuhan, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang. - NSTP/Aizuddin Saad

Pesawat khas berlepas ke Wuhan hari ini

KUALA LUMPUR: Pesawat AirAsia, AK8264 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Wuhan, jam 4.38 petang tadi, untuk membawa pulang 141 rakyat Malaysia yang berdepan perintah berkurung di bandar dekat wilayah Hubei itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjelaskan pesawat jenis A320 itu turut membawa 500,000 sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China dalam operasi menangani penularan wabak coronavirus (2019-nCOV) di republik terbabit.

“Semua 141 penumpang ini akan melalui tapisan kesihatan mengikut ketetapan pihak penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan sebelum dibenarkan memasuki pesawat untuk berlepas balik ke Malaysia.

“Tempoh yang diambil untuk tapisan kesihatan, proses imigresen dan kebenaran berlepas tidak dapat dipastikan buat masa ini.

“Sebaik tiba di Malaysia, semua 167 penumpang iaitu 141 yang dibawa pulang, 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sekali lagi akan melalui tapisan kesihatan di Unit Bencana Udara (ADU), KLIA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, mana-mana penumpang didapati mempunyai gejala coronavirus akan dibawa terus ke hospital, manakala yang melepasi saringan dibawa menaiki bas ke pusat pemantauan selama 14 hari.

“NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) akan berhubung dengan keluarga mereka untuk memaklumkan urusan penerbangan pulang dan memberi penerangan berkaitan proses kuarantin yang perlu dilalui ahli keluarga sepanjang 14 hari,” katanya.

Berita Harian X