Isnin, 3 Februari 2020 | 8:03pm
Warga asing yang bekerja di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur. -NSTP/Asyraf Hamzah

Warga asing cengkam rantaian sayur Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Kebanjiran warga Myanmar dan Bangladesh menguasai perniagaan dalam Pasar Borong Kuala Lumpur dekat Selayang di sini tanpa kawalan pihak berkuasa, membuatkan mereka kini semakin kuat mencengkam rantaian bekalan sayur kepada pengguna hampir seluruh Lembah Klang.

Keupayaan memonopoli perniagaan sayur-sayuran sebagai peraih dan pemborong di dalam dan luar pasar berkenaan, membuatkan mereka berkuasa mengawal hingga menindas pekebun dan peruncit tempatan dalam penentuan harga belian dan jualan sayur-sayuran.

Meskipun membayar sewa mencecah ribuan ringgit setiap bulan kepada pemegang lesen tempatan demi mendapat tempat berniaga dalam pasar borong berkenaan, warga asing sanggup berbuat demikian kerana berupaya menjana kembali pulangan bagi menampung kos operasi.

Kebanjiran warga Myanmar dan Bangladesh menguasai perniagaan dalam Pasar Borong Kuala Lumpur dekat Selayang. - NSTP/Asyraf Hamzah

Tinjauan BH mendapati, warga Myanmar dan Bangladesh memenuhi hampir setiap ruang dalam lot pasar borong terbabit yang dianggarkan mempunyai lebih 80 lot peniaga sayur.

Difahamkan, sewa bagi setiap lot mini diduduki mereka adalah sebanyak RM2,300 hingga RM3,000 sebulan. Lot umpama sekangkang kera yang sekadar boleh memuatkan tiga bakul sayur itu, adalah hasil pecahan lot asal berkeluasan kira-kira 10 meter persegi.

Setiap lot asal dipecahkan kepada empat bahagian oleh pemegang lesen yang menyewa tapak itu dan caj sewanya juga berbeza mengikut waktu.

Difahamkan RM2,300 bayaran sewa untuk lot niaga waktu malam dan RM3,000 untuk perniagaan waktu pagi, membolehkan penyewa sebenar lot berkenaan meraih keuntungan secara mudah tanpa perlu menguruskan sebarang perniagaan di situ.

Pemborong mahu dikenali sebagai Ali Ghafar, yang lebih 10 tahun berniaga, mendakwa terpaksa membayar deposit RM30,000 kepada pemilik tapak yang juga warga tempatan untuk menduduki lot mini di situ.

Warga Myanmar itu mendakwa, pemilik lot niaga berkenaan memintanya mendapatkan tandatangan tiga warga tempatan sebagai syarat melayakkan menyewa di situ.

Warga asing yang bekerja di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur. -NSTP/Asyraf Hamzah

“Untuk lot ini (lot mini), saya kena bayar RM3,000 sebulan. Awak boleh tengok, boleh muat tiga bakul sayur sahaja. Kalau nak lot lagi luas, kena sewa lot mini sebelah. Kena tambah lagi RM3,000,” katanya.

Walaupun terpaksa membayar sewa yang tinggi, mereka tidak bimbang kerana keupayaan menjual di antara 700 hingga 1,000 kilogram sayur berdaun sehari sahaja, tidak termasuk sayuran berbuah lain.

Dominasi warga asing di pasar borong itu juga menyaksikan mereka berkuasa sepenuhnya dalam mengawal serta menentu harga sayur yang ingin dijual.

Mereka bukan setakat menguasai aktiviti jualan dan belian bekalan sayur di situ, sebaliknya turut mempunyai pembekal dalam kalangan pekebun sayur warga asing yang mengusahakan kebun di sekitar Lembah Klang.

Pada peringkat pembekal, BH difahamkan ada sekurang-kurangnya empat ‘syarikat’ milik warga Bangladesh dan Myanmar yang menghantar sayur ke pasar borong berkenaan.

Warga asing yang menjadi pembekal sayur kepada pasar berkenaan memiliki kebun sama ada secara sewaan atau menceroboh tanah di sekitar Selangor dan Pahang.

Tinjauan mendapati, pekebun warga asing menjual sayur seperti kangkung, bayam dan sawi kepada peraih pada harga antara RM1.80 hingga RM2 sekilogram, sebelum peraih atau pemborong menjualnya kepada peruncit dengan kenaikan di antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram.

Peraih warga Myanmar, 38, Ahmad Ali, yang mengakui memperoleh bekalan daripada pekebun warga tempatan dan asing, mendakwa harga sayur-sayuran mempunyai pasang surut kerana punca kenaikan dan penurunan dipengaruhi bekalan yang diterima sama ada banyak atau sedikit.

“Ada waktu kita jual murah dan mahal. Kalau sayur sampai pagi, saya jual RM3.50 hingga RM4.50 sekilogram sebab sayur baharu dan segar tetapi bila lewat petang, harga diturunkan kepada jual RM2 (sekilogram) atau lebih murah,” katanya.

Seorang peraih warga Bangladesh yang mahu dikenali Rafi, mengakui harga sayur-sayuran yang dijual pada Sabtu dan Ahad lebih tinggi berbanding hari biasa.

Seorang peniaga tempatan, Mohd Azrul, 35, mendakwa terpaksa menaikkan harga antara RM1 hingga RM1.50 bagi setiap kilogram sayur yang dijual di pasar malam, tertakluk harga diperoleh daripada peraih atau pemborong.

Berita Harian X