Selasa, 4 Februari 2020 | 1:18pm
Rakyat Malaysia dari Wuhan menjalani proses saringan di Unit Kecemasan Udara di KLIA - Gambar Ihsan NADMA
Rakyat Malaysia dari Wuhan menjalani proses saringan di Unit Kecemasan Udara di KLIA - Gambar Ihsan NADMA

Dua rakyat Malaysia dari Wuhan ditempatkan di HKL

KUALA LUMPUR: Dua daripada 107 orang yang dibawa pulang ke Malaysia dari Wuhan pagi tadi tidak melepasi saringan kesihatan dan dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata sebaik selesai tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara, 105 orang dibawa menaiki bas ke pusat pemantauan di Akedemi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, pusat pemantauan itu akan diselia oleh petugas Kementerian Kesihatan.

“Di sini perhubungan terhad kepada petugas kesihatan sahaja. Selain petugas kesihatan, tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan, termasuk ahli keluarga

“Ahli keluarga atau sahabat diminta supaya dapat memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini. Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pesawat AirAsia dari Wuhan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur (klia2) pada jam 6 pagi membawa pulang 133 orang, iaitu 107 orang yang dibawa balik daripada Wuhan, lapan petugas misi dan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia dan 12 krew AirAsia.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar selepas tamat proses pemantauan ini.

Berita Harian X